KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka mampu memiliki pesawat tempur ‘buatan tangan’ rakyat tempatan menjelang 2030, kata seorang penyelidik pertahanan tempatan.
Pensyarah Kanan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohd Roshdi Hassan berkata kajian sedang dibangunkan pihaknya membabitkan pelbagai aspek teknikal termasuk reka bentuk dan keupayaan enjin yang akan digunakan pesawat tempur tersebut.
“Kita ada rekaan badan pesawat mengikut jenis kegunaannya. Secara umumnya,kita reka pesawat pejuang pelbagai peranan (MRCA) yang menggunakan dua enjin.
“Rekaan itu boleh dimodifikasi menjadi pesawat pejuang ringan (LCA) yang menggunakan satu enjin. Terpulang kepada pasukan pertahanan negara untuk menentukan jenis reka bentuk pesawat untuk dibangunkan menjadi pesawat sebenar,” katanya kepada Bernama sewaktu ditemui pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2018.
Beliau menjelaskan bahawa sekiranya mendapat kelulusan Kementerian Pertahanan dan terdapat syarikat-syarikat industri pertahanan yang berminat bekerjasama membangunkan rekaan ini, pihaknya memerlukan tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun untuk menyiapkannya.
Ini kerana, katanya, ia melibatkan pelbagai proses pembinaan prototaip pesawat dan senjata sebelum ia boleh digunakan sepenuhnya dalam perkhidmatan ketenteraan negara atau boleh dipasarkan ke pasaran rantau ini mahupun antarabangsa.
Jelasnya, saiz pesawat ini juga hampir sama dengan pesawat MiG-29 buatan Rusia dan dikategorikan sebagai pesawat generasi kelima (semakin tinggi, semakin canggih) setanding pesawat tempur negara-negara maju dunia yang kini memasuki generasi keenam.
Amerika Syarikat, Jerman, Rusia, Sweeden dan Perancis adalah antara nama besar yang tidak asing lagi dalam dunia pembuatan pesawat tempur berteknologi tinggi dan bagi rantau Asia, negara jiran, Indonesia kini dalam usaha membangunkan pesawat peruang jenis KF-X/IF-X dengan kerjasama Korea Selatan yang dijangka selesai menjelang tahun 2026.
Ketika ditanya spesifikasi yang bakal dimuatkan pada pesawat tempur itu, beliau berkata antaranya ialah radar berkuasa tinggi, sistem peperangan elektronik dan teknologi Stealth yang berperanan untuk menyembunyikan pesawat dari radar musuh.
“Keistimewaan pesawat ini nanti ialah ia akan disaluti cat khas jenis ‘Hydrophobic Radar Absortion Material Coating’ yang berperanan memperkukuhkan teknologi Stealth dan boleh digunakan pada apa jua situasi serta iklim di muka bumi ini.
“Berbanding dengan teknologi Amerika Syarikat, mereka menggunakan cat jenis ‘Hydophilic Radar Absortion Material Coating’. Cat ini memberi kesan yang sama dari segi teknologi Stealth, namun terdapat kekurangan ketika pesawat diterbangkan pada cuaca basah atau hujan kerana cat jenis ini menyerap air dan dikhuatiri mampu mengganggu sistem penerbangan pesawat terbabit,” katanya.
Mohd Roshdi berkata dengan pembinaan sendiri pesawat tempur ini, ia mampu mengurang kebergantungan Malaysia terhadap aset buatan negara luar.
“Sekiranya berlaku situasi getir melibatkan negara pembuat pesawat itu, ia akan mendatangkan masalah pada kita untuk mendapatkan alat ganti.
“Oleh kerana itu, kita harus membina pesawat dan teknologi sendiri yang sekali gus dapat menjimatkan kos penyelenggaraan sesebuah pesawat kerana ia dilakukan sendiri sepenuhnya di dalam negara.
“Jika tiada halangan dan disokong semua pihak, saya yakin, kita mampu berbangga dengan pesawat tempur pertama buatan anak Malaysia yang akan membelah awan biru dalam tempoh 10 tahun lagi,” katanya.
Mohd Roshdi yang juga pengasas Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia (AMIC) berkata idea untuk membina pesawat tempur Malaysia ini bermula sejak 2007 lagi sewaktu bertugas di Pusat Teknologi Universiti Rolls-Royce di Sheffield, England.
“Pada 2008, saya pulang ke Malaysia dan mula mengumpul kumpulan pakar bagi melakukan penyelidikan dalam setiap bidang antaranya persenjataan, aeroangkasa, radar dan sistem navigasi.
“Setelah 10 tahun, kami bersedia untuk berbincang perkara ini bersama Kementerian Pertahanan Malaysia dengan lebih serius,” katanya.
Pameran empat hari di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) yang bermula Isnin lepas menghimpunkan kira-kira 1,500 syarikat berkaitan pertahanan dan 350 delegasi luar negara dari 45 negara. -BERNAMA
KOMEN