Home » Langit Terbuka » Malaysia di tangga ke-16 negara paling aman di dunia

Malaysia di tangga ke-16 negara paling aman di dunia

Kedudukan Indeks Keamanan Global Malaysia meningkat ke tangga 16 pada 2019 berbanding tahun sebelumnya, kata Menteri Pertahanan. - Foto FB

KUALA LUMPUR – Malaysia kini berada di tangga ke-16 negara paling aman di dunia berdasarkan laporan Indeks Keamanan Global (GPI) 2019.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata laporan GPI itu turut mengiktiraf Malaysia sebagai negara ketiga paling aman di Asia Tenggara selepas Jepun dan Singapura.

“Laporan GPI ini adalah penting dan perlu diketengahkan kerana ia akan menarik perhatian terutama pelabur dan pelancong asing untuk datang.

“Sekarang, kita berada di kedudukan yang baik berbanding tangga ke-26 pada 2018 dan ia (sesuatu) yang boleh dibanggakan.

“Kita berharap ia akan berterusan seperti ini pada masa akan datang,” katanya ketika menjadi tetamu program Bicara Naratif mengenai Pencapaian Kementerian Pertahanan Sepanjang 2019 yang disiarkan secara langsung di TV1.

Pada masa sama, Mohamad berkata kementerian itu juga sentiasa komited mempertingkatkan keselamatan di Sabah dan Sarawak bagi mengekang ancaman anasir luar serta pencerobohan termasuk penculikan yang kerap berlaku di sana.

Menurutnya, keselamatan di Sabah dan Sarawak terkawal dengan operasi ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Kami sentiasa bertanya kedudukan keselamatan selain bagaimana ia perlu diperlengkapkan dengan peralatan terutama di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Pusat Bantuan Operasi Udara di Tawau bagi memastikan kepentingan keselamatan di Sabah dan Sarawak sentiasa terjamin.

“Malah, ATM juga masih mengekalkan komitmen dan peranannya bersama ESSCOM dengan memperkukuhkan kawalan keselamatan di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE),” katanya.

Beliau berkata, kerjasama dengan Indonesia dan Filipina turut diperkukuh bagi membanteras permasalahan itu.

“Bahkan, hubungan erat itu menyebabkan berlaku sedikit kekurangan jenayah di kawasan yang dianggap ‘panas’ selama ini,” katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *