KUALA LUMPUR: Malaysia bersolidariti dengan Iran atas tragedi menimpa Presiden negara itu, Ebrahim Raisi dan Menteri Luarnya, Hossein Amir-Abdollahian yang terkorban dalam nahas helikopter semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia turut terkesan dan sedih apabila menerima laporan mengenai insiden nahas helikopter di wilayah utara Iran yang dinaiki pemimpin berkenaan.
“Saya sempat bertemu Almarhum Presiden Raisi di New York, Amerika Syarikat tahun lalu dan menekuni pelbagai perkara yang dekat dengan kedua-dua negara.
“Beliau (Raisi) menonjolkan sikap terbuka, tetapi tegas terutama dalam soal pembangunan rakyat negaranya serta mempunyai keupayaan tinggi dalam memelihara Iran sebagai negara dan tamadun yang kuat.
“Justeru, Malaysia berduka atas tragedi ini dan bersedih atas malapetaka yang menimpa negara sahabat Iran. Doa dan solidariti buat rakyat Republik Islam Iran dan semoga Allah SWT mengampuni dosa mereka dan memberi tempat istimewa di sisi-Nya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, media luar negara melaporkan Presiden Iran disahkan meninggal dunia selepas helikopter dinaikinya terhempas di sebuah kawasan pergunungan di Iran.
Menurut agensi berita Iran, IRINN dan Mehr News, tiada mangsa yang terselamat ditemui di lokasi nahas helikopter itu.
Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat digerakkan semalam dan pasukan penyelamat mengumumkan Raisi, Amir-Abdollahian serta delegasi ditemukan maut dalam nahas berkenaan.
Anwar berkata, pemergian Raisi turut menjadi kehilangan besar dalam perjuangan membela Palestin.
“Saya sangat selesa bekerjasama dengan Almarhum dan tragedi itu tentunya menyedihkan dan meninggalkan bekas yang mendalam terutama dalam perjuangan membela warga Palestin,” katanya.
Raisi dilaporkan dalam penerbangan pulang bersama Amir-Abdollahian dan beberapa individu lain dari majlis perasmian sebuah empangan di sempadan Iran dan Azerbaijan.
KOMEN