Home » Langit Terbuka » Malaysia-Arab Saudi sedia teroka kerjasama baharu dalam RE, hidrogen

Malaysia-Arab Saudi sedia teroka kerjasama baharu dalam RE, hidrogen

Wan Zaidi (dua dari kanan) mempersembahkan cenderahati kenangan kepada Tuanku Syed Faizuddin Putra, sambil disaksikan Raja Puan Muda Perlis (kiri sekali). - Foto ihsan MAIPs

KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia untuk meneroka pelbagai ruang kerjasama baharu dengan Arab Saudi ke arah mencapai Visi 2030 terutamanya dalam bidang tenaga (RE) boleh diperbaharui dan hidrogen.

Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah berkata langkah itu antara lain demi memperkasa hubungan perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara.

Beliau berkata, pelaburan Arab Saudi di Malaysia meliputi beberapa sektor yang didominasi sektor petroleum dan gas.

“Pelaburan utama adalah di Pengerang Integrated Complex (PIC) dengan nilai pelaburan berjumlah AS$27 bilion pada 2018.

“Arab Saudi rakan dagang terbesar dan sumber import terbesar Malaysia di rantau Asia Barat.

“Pada 2023, jumlah dagangan dua hala dengan Arab Saudi mencecah RM50.52 bilion (AS$11.06 bilion), peningkatan sebanyak 11.5 peratus berbanding RM45.32 bilion (AS$10.21 bilion) pada 2022.

“Lebihan dagangan Arab Saudi adalah RM36.8 bilion kerana import petroleum dari Saudi ke Malaysia. Nilai eksport Malaysia pula RM6.86 bilion, manakala nilai import RM43.66 bilion,” katanya melalui kenyataan dikongsi Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs).

Perkara itu dipersembahkan Wan Zaidi Wan kepada Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Aziziah, Makkah.

Pada sesi itu, baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan Tabung Ibnu Sabil MAIPs kepada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh bertujuan membantu masyarakat Malaysia yang berhadapan situasi sukar seperti terkandas, kecemasan dan sebagainya.

Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyampaikan sumbangan Bantuan Fi Sabilillah MAIPs kepada pelajar-pelajar Perlis di Arab Saudi, diwakili Mahasiswa Universiti Islam Madinah Munawwarah, Talhah Mohd Asri.

Baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda berdua iaitu Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Sharifah Farah Adriana Jamalullail serta Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail ketika berangkat mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci.

Hadir sama isteri duta, Datin Zuhaila Abd Latif dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Dalam pada itu, Wan Zaidi memaklumkan Malaysia dan Arab Saudi mempunyai hubungan erat dalam bidang kerjasama ekonomi dan diplomatik sejak 1957.

“Hubungan dua negara ini pasti terus diperkukuh demi kesejahteraan dan keamanan sejagat serta telah menjangkau satu tingkatan baharu di peringkat kepimpinan tertinggi.

“Perdana Menteri Malaysia telah membuat kunjungan ke Riyadh, Arab Saudi bagi memenuhi jemputan peribadi Putera Mahkota Muhammad Bin Salman ke Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) pada April tahun ini, manakala Perdana Menteri Arab Saudi pula dijangka datang ke Malaysia tahun depan bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN GCC 2025.

“Selain berkongsi kepentingan dalam bidang pelaburan dan ekonomi, Malaysia dan Arab Saudi turut mempunyai hubungan rapat dalam pelbagai lapangan akademik dan dakwah seperti pertukaran kepakaran, pelaksanaan persidangan akademik dan kajian penelitian yang memberikan impak antara kedua belah pihak,” katanya.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *