Home » Langit Terbuka » Malaysia Akan Mempunyai Kereta Nasional Baharu

Malaysia Akan Mempunyai Kereta Nasional Baharu

Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada sesi dialog Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia sempena Persidangan Antarabangsa Nikkei Ke-24 hari ini

TOKYO – Malaysia akan memulakan projek kereta nasional baharu menerusi kerjasama dengan negara serantau lain, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap pada sesi dialog Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia sempena Persidangan Antarabangsa Nikkei Ke-24 hari ini, Dr Mahathir berkata Proton kini bukan lagi kereta nasional kerana sebahagian besar saham syarikat terbabit kini dimiliki syarikat China, Geely.

“Aspirasi kita sekarang ialah untuk memulakan sebuah lagi projek kereta nasional, mungkin dengan kerjasama negara serantau,” katanya.

Tambah beliau, Thailand dan Jepun adalah antara negara serantau yang memiliki kepakaran dalam pembuatan kenderaan.

Dr Mahathir berkata demikian apabila ditanya mengenai potensi pembangunan industri baharu Malaysia dan bagaimana pelabur asing dapat melengkapkan senario itu.

“Kita mungkin terpaksa mengharapkan rakan asing pada permulaan tetapi lambat laun kita berharap pekerja tempatan sendiri dapat menguasai teknologi yang diguna pakai,” katanya.

Sementara itu, pada sesi dialog dengan wartawan Jepun di Japan National Press Club, Dr Mahathir berkata dalam tempoh 20 tahun Malaysia bekerjasama dengan Mitsubishi Motor Corp, negara memperoleh banyak kepakaran dan teknologi berkaitan reka bentuk serta pembuatan kereta baharu.

“Bagaimanapun, ada bahagian tertentu kereta yang terlalu mahal untuk dibangunkan dan kita mungkin mendapatkannya dari negara lain termasuk Jepun,” katanya. – BERITA HARIAN ONLINE

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *