Home » Analitis » Malapetaka berlaku angkara manusia

Malapetaka berlaku angkara manusia

HASIL kajian global yang dilakukan oleh seorang ahli geofizik dari Britain, Chrsitian Klose yang diterbitkan dalam Journal of Siesmology dan kemudiannya dipetik sebagai laporan berita Agensi pada 17 Disember 2013 memberi makna yang jelas bahawa 92 gempa bumi yang kuat adalah disebabkan oleh manusia.

Bukan sahaja gempa bumi yang berlaku akibat kegelojohan manusia, bahkan lain-lain malapetaka alam saperti banjir turut membawa kepada suatu kesimpulan, kebanyakannya berlaku akibat kerakusan manusia.

Manusia bukan sahaja berperanan sebagai pencipta teknologi dan menguruskan kehidupan di muka bumi, malah manusia jugalah yang menjadi punca berlakunya malapetaka, yang akhirnya turut memusnahkan kehidupan itu sendiri.

Beberapa tahun lalu, kita dilaporkan berlakunya fenomena perubahan cuaca sehingga menyebabkan Dataran Irrawadi (lembah subur di Myanmar) ditenggelami banjir besar; Bangkok mengalami kerugian berjuta dolar kerana ditenggelami banjir; begitu juga apa yang berlaku di Pakistan, sehingga menyebabkan imej Perdana Menterinya, Asif Zadari tercalar kerana tidak dapat melakukan apa-apa bagi mempercepatkan proses air surut kerana hampir sepertiga negara itu ditenggelami air lebih seminggu.

Seperti dipercayai bahawa kedudukan fauna dan flora, bukit dan laut adalah dalam keadaan yang seimbang. Apabila kedudukan yang seimbang itu dikhianati, maka alam dikatakan bertindak balas kerana kedudukannya yang tidak stabil. Kesannya, malapetaka akan terjadi manakala kekuatannya mungkin berbeza antara satu tempat dengan tempat yang lain.

Beberapa hari lalu beberapa negeri di semenanjung, berlaku banjir lumpur menimpa kerana curahan air hujan yang banyak tidak lagi dapat ditampung akibat penggondolan tanah tinggi dilakukan tanpa kompromi. Demi untuk mengaut keuntungan dan menjana sumber kewangan yang besar, manusia sanggup menarah bukit-bukit walhal secara fitrahnya, bukit-bukit itu juga merupakan faktor keseimbangan ekosistem dan biodiversiti.

Dari sudut pandangan ajaran agama, misalnya agama Buddha terdapat satu frasa yang mengajar setiap penganutnya bahawa “segala sesuatu yang timbul kerana sesuatu sebab, di dalamnya pun terdapat sebab yang membuat ia musnah kembali.” Ini bermakna, segala sesuatu yang berlaku dan yang hadir dalam kehidupan ada peranan, dan jika peranan itu dilanggar, maka ia menimbulkan kesan yang besar ke atas kehidupan.

Dalam cerita legenda, gempa bumi atau malapetaka dikaitkan dengan raksasa yang bangkit dari tidur. Raksasa itu setelah beberapa lama mendiamkan diri (tidur), sampai ketikanya akan bangun dan ketika raksasa bangun itulah menyebabkan terjadinya gempa bumi akibat hayunan anggota badannya. Manusia yang merasakan gegaran, ramai-ramai akan keluar berteriak sebagai isyarat bagi menghentikan pergerakan raksasa.

Menurut Ensiklopedia Dunia (DBP, 2005, Jilid 7), gempa bumi ialah gegaran bumi yang disebabkan oleh rekahan dan penganjakan sebahagian besar lapisan luar batuan bumi secara tiba-tiba. Gempa bumi yang kuat mampu membebaskan tenaga 10,000 kali ganda lebih banyak daripada tenaga yang dibebaskan oleh ledakan bom atom yang menghancurkan Hiroshima pada 6 Ogos 1945 dan Nagasaki pada 9 Ogos 1945 di Jepun.

Kekuatan gempa bumi diukur dengan menggunakan alat yang dipanggil Skala Richter yang digredkan antara satu hingga sembilan. Ini bererti, gempa bumi yang terkuat pernah dicatatkan berlaku ialah di Sendai, Jepun pada 11 Mac 2011 dengan 9.1 menurut Skala Richter, dan kedua ialah di Aceh sembilan tahun lalu. Gempa bumi tektonik ini menyebabkan ratusan ribu penduduk di sekitar Fukushima dan Tokyo mengalami kerosakan. Ia dianggap paling dahsyat dalam sejarah 140 tahun Jepun. Gempa bumi di Aceh pula mengakibat hampir 200,000 orang mati dan kesan Tsunami turut dirasai di Malaysia, terutama sekitar Pulau Pinang, Thailand, Sri Lanka dan beberapa buah pulau di sekitar Lautan Hindi turut menerima akibat tsunami, bahkan kawasan pelancongan di Phuket menjadi begitu ngeri sekali.

Untuk memahami fenomena ini kita perlu menggunakan analogi. Misalnya, apabila kita menggunakan alat pengering pakaian, alat tersebut mengeluarkan bunyi bising ketika mula beroperasi. Ia kemudiannya semakin perlahan kerana kedudukan pakaian di dalamnya semakin seimbang, atau tidak dalam keadaan yang baik. Kedudukan itu menyebabkan alat pengering bergoncang dan menghentam dindingnya.

Keadaan yang sama berlaku kepada bumi. Bumi tidak pernah berhenti berpusing setiap saat, 24 jam sehari, 7 hari seminggu sejak dikatakan wujud 4.54 bilion tahun lalu. Bumi berputar dengan kelajuan 1,000 batu sejam. Selagi bumi dan keseimbangannya tidak terganggu, ia tidak akan menimbulkan masalah. Tetapi, apabila keseimbangannya terganggu, maka berlakulah gempa bumi sama ada lemah atau kuat.

Allah SWT telah mengingatkan manusia tentang fenomena penciptaan-Nya. Jika kedudukan bumi tidak stabil atau terganggu, ia seolah-olah berlakunya amukan yang boleh memusnahkan manusia. “Dan telah Kami jadikan di bumi ini gunung-ganang yang kukuh supaya bumi itu (tidak) bergoncang bersama mereka, dan telah Kami jadikan di bumi itu jalan-jalan yang luas agar mereka mendapat petunjuk.” (a-Anbiya: 31).

Oleh kerana manusia melihat apa yang ada di atas permukaan bumi dan di perut bumi itu sebagai sumber kekayaan, manusia mula tamak untuk menakluki dan mengeksploitasinya. Dengan menggunakan pelbagai alasan sama ada atas nama pembangunan dan sumber ekonomi, manusia meneroka sumber-sumber itu tanpa melihat kerosakan yang bakal berlaku, termasuk kes perlombongan pasir secara haram yang sedang diperkatakan oleh masyarakat Lembah Klang. Selangor pernah disifatkan sebagai sebuah negeri berlubang, kerana semua pasir dilombong untuk kegunaan pembinaan bangunan dan menambak laut, dan ini telah mengganggu keseimbangannya.

Berdasarkan beberapa kes kemusnahan kehidupan itu jelaslah bahawa tangan manusia sendirilah yang menyumbang kepada kerosakan dan malapetaka. Maka kesimpulan yang dilakukan oleh Christian Klose itu adalah benar, dan tentunya dapat menolak faktor semula jadi lebih besar menyumbang kepada terjadinya malapetaka.

Rumusan Christian Klose itu menepati apa yang diberikan amaran keras oleh Allah SWT: “Telah nampak kerosakan di darat dan di laut akibat perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan mereka sebahagian dari akibat perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” (ar-Rum:41)

Fenomena tersebut turut dikaitkan sebagai salah satu tanda kecil kiamat. Ini kerana sikap manusia yang bermegah-megah dan berlumba-lumba membina bangunan pencakar langit, bakal menyebabkan kedudukan bumi tidak seimbang manakala ruang udara semakin terganggu.

Di dalam al-Quran beberapa tanda dan proses terjadinya kiamat digambarkan dengan fenomena langit yang tidak seperti biasanya. Seperti langit yang terbelah, langit digulung seperti menggulung lembaran-lembaran kertas, bintang-bintang berjatuhan, matahari dan bulan dikumpulkan, matahari dipadamkan, matahari terbit dari arah barat dan sebagainya.

Para ilmuan muslim berpendapat dari hasil penelitian para ahli astronomi menunjukkan bahawa berbagai fenomena kiamat yang disebut al-Quran itu adalah sesuatu yang benar-benar akan terjadi pada objek-objek luar angkasa, seperti bintang, galaksi, planet, asteroid, meteor, komet, dan termasuk bumi dan tatasuryanya. “Dan pada hari itu terjadilah Hari Kiamat” (Al-Quran Surah Al-Haqqah ayat 15) .

Sepatutnya, sebagai penganut Islam, kita mempertingkatkan iman dan melaksanakan kehidupan dengan sederhana. Tidak meletakkan tamak dan kerakusan menguasai sumber kekayaan sebagai faktor yang boleh dianggap tergesa-gesa jadi kaya dalam hidup. Inilah sikap yang amat bahaya dan merugikan manusia sendiri. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Sudah merasa amankah kamu, bahawa Dia yang di langit tidak akan membuat kamu ditelan bumi ketika tiba-tiba ia tergoncang?” [al-Mulk: 16).- ABABIL

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *