Home » Langit Terbuka » Makanan percuma untuk pelajar mulai 2020

Makanan percuma untuk pelajar mulai 2020

Rancangan makanan percuma yang dijadualkan bermula tahun 2020 itu disasarkan untuk semua pelajar, kata Menteri Pendidikan - Foto The Star

MERBOK – Kementerian Pendidikan akan memastikan setiap pelajar yang hadir ke sekolah pada tahun hadapan akan menikmati makanan percuma sebelum sesi pembelajaran bermula.

Menterinya, Dr Maszlee Malik, berkata langkah itu dibuat kerana di sebalik makanan percuma itu, berlaku perkara penting iaitu proses pendidikan sivik dan disiplin dapat diterapkan dalam kalangan pelajar.

“Kita bukan sahaja memberi makanan berkhasiat dalam membentuk generasi baharu yang sihat, malah mendidik anak-anak mengenai sivik dan disiplin.

“Sebelum makan basuh tangan, lepas makan kena kemas. Mereka semua ini akan makan bersama guru,” katanya ketika ditemui selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbok di sini, hari ini.

Ditanya sama ada pelajar dari keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) sahaja yang akan diberikan makanan percuma, Maszlee menjelaskan makanan itu untuk semua pelajar.

“Semua pelajar akan dapat. Pelajar sesi pagi akan menikmati sarapan, begitu juga pelajar sesi petang,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada SMK Tanjung Adang di Johor akan ditutup sementara berikutan sekolah itu berdekatan kawasan kebakaran hutan, beliau berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat terperinci terlebih dahulu.

“Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ada sebelum mengambil apa-apa tindakan.

“Saya akan menghubungi mereka untuk bertanya situasi terkini keadaan di sana. Sehingga pagi tadi, saya belum menerima apa-apa respon daripada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas status yang dimuat naik di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengenai tinjauan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim yang berangkat ke lokasi hutan di Jalan Tanjung Kupang, dekat Gelang Patah, Johor, pagi tadi.

Tunku Ismail yang turut berangkat melawat SMK Tanjung Adang menitahkan sekolah ditutup sementara demi kesihatan pelajar. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *