KUALA TERENGGANU 24 Dis. – Kerajaan Terengganu bersedia mengadakan pelbagai program termasuk bantuan untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan bagi membantu golongan mak nyah kembali ke fitrah asal dan menjauhi kegiatan pelacuran.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas Negeri, Encik Ghazali Taib berkata kerajaan negeri sudah membuat perbincangan dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi mengenal pasti identiti pondan-pondan yang terbabit, bagi membolehkan golongan itu kembali kepada fitrah asal.
“Kita akan kenal pasti kategori mereka ini jenis macam mana… sama ada mereka ini menjalankan aktiviti tidak bermoral disebabkan kesempitan hidup ataupun kerana tabiat.”
“Berdasarkan kategori tersebut, kita akan bantu dan mereka ini akan diberi bantuan untuk ikuti sesi pemulihan dan kaunseling agar kecelaruan identiti mereka dapat diatasi,” katanya dalam laporan yang disiarkan oleh Bernama.
Tambahnya lagi, pihak berkaitan akan mengkaji punca yang menyebabkan mak nyah-mak nyah tersebut menjalankan aktiviti tidak bermoral itu dan jika didapati mereka masih berterusan melakukan kegiatan keji tersebut, tindakan tegas akan diambil.
Difahamkan, gejala mak nyah yang semakin berleluasa di Kuala Terengganu ini berpunca daripada permintaan individu-individu tertentu, namun beliau berkata kerajaan akan berusaha keras untuk memastikan aktiviti tidak bermoral itu dapat dibendung.- www.menara.my
KOMEN