Johor Bahru – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, akan merasmikan pembukaan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar di sini, 12 Jun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata, selepas dua tahun tidak dianjurkan, Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang menjadi tuan rumah edisi kali ini bertekad menjadikan MTHQK Johor 2022 sebagai penganjuran yang terbaik pasca COVID-19.
“Majlis perasmian pembukaan MTHQK Johor 2022 akan disempurnakan Perdana Menteri pada jam 8 malam 12 Jun ini di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru.
“Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pula berkenan untuk berangkat ke majlis perasmian penutup dan pengurniaan hadiah MTHQK Johor 2022 yang diadakan jam 8 malam, 17 Jun di lokasi sama.
“Seramai 42 peserta lelaki dan 42 peserta perempuan dari 14 negeri akan menyertai MTHQK Johor 2022 yang berlangsung mulai 9 hingga 18 Jun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pra Pelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1443 H/2022 M di Dewan Besar Pusat Islam, Iskandar Johor hari ini.
Terdahulu, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi merasmikan Pra Pelancaran MTHQK Johor 2022.
Dalam pada itu, Idris ketika berucap pada majlis pra pelancaran itu berkata, penganjuran MTHQK Johor 2022 ini adalah bukti komitmen Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Johor dalam memelihara kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Ia juga satu manifestasi usaha yang berterusan bagi memartabatkan Islam sebagai cara hidup, yang tetap relevan dalam arus masa kini.
“Ucapan terima kasih yang tidak terhingga Kerajaan Persekutuan zahirkan kepada kerajaan Johor, terutama Sultan Ibrahim atas
perkenan baginda bagi Johor merealisasikan MTHQK Johor 2022,” katanya. – Harian Metro
KOMEN