PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia pada 9 April telah menandatangani perjanjian dengan syarikat Mobility One Sdn Bhd bagi tujuan pembangunan dan pelaksanaan perkhidmatan fintech bagi program penjanaan dana infaq badan dakwah ini.
Menerusi perjanjian itu nanti, ia akan membolehkan masyarakat membuat pilihan bagi melaksanakan infaq sama ada di premis peniaga yang dilantik Mobility One dan YADIM atau secara atas talian melalui aplikasi mudah alih dan portal.
Mewakili YADIM dalam perjanjian ini ialah Yang Dipertuanya, Ustaz Nasrudin Hassan manakala Mobility One oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Hussian A. Rahman.
Perjanjian ini disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.
Hadir sama ke majlis ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh serta pengurusan kanan kedua dua pihak.
Nasrudin dalam aluannya berkata, dana yang dikutip pihaknya akan digunakan dalam pelbagai gerakan dakwaah YADIM di seluruh negara yang meliputi program seperti kebajikan, perkaderan, pendidikan dan sebagainya.
“Kita harap dapat perkenal saluran bayaran infaq dengan lebih mudah dan berkesan, yang akhirnya memudahkan masyarakat menghulurkan sumbangan mereka.
“Selain itu inisiatif ini juga akan memperkenal kaedah kutipan melalui portal badan bukan kerajaan yang berdaftar bersama YADIM,”ujarnya.
Datuk Zulkifli dalm ucapan beliau pula berkata, inisiatif digerakkan YADIM ini sangat baik dan diharap akan berupaya memperkasa badan dakwah ini.
KOMEN