NEW YORK13 Dis – Pegawai tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membentangkan laporan kekejaman seksual menyedihkan dan mengerikan dilakukan tentera Myanmar terhadap wanita Rohingya kepada Majlis Keselamatan, menggesa badan itu melawat wilayah berkenaan dan menuntut serangan ke atas penduduk awam ditamatkan.
Wakil khas Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, mengenai keganasan seksual di zon konflik, Pramila Patten, berkata seorang wanita memberitahu beliau ditahan tentera Myanmar selama 45 hari dan dirogol berulang kali.
Sementara seorang lagi wanita hilang penglihatan sebelah mata selepas digigit tentera yang melakukan serangan seksual ke atasnya.
“Sebahagian saksi melaporkan wanita dan gadis diikat di batu atau pokok sebelum ramai tentera merogol mereka sehingga mati.
“Sebahagian wanita menceritakan tentera melemaskan bayi dalam telaga di kampung.
“Beberapa wanita lagi memberitahu bagaimana bayi mereka dilempar ke dalam api ketika diheret oleh tentera dirogol beramai-ramai,” katanya.
Patten berkata, Majlis Keselamatan yang mempunyai 15 negara anggota perlu melawat Myanmar dan Cox’s Bazar di Bangladesh, yang menjadi penempatan 626,000 pelarian Rohingya sejak keganasan meletus di negeri Rakhine di utara Myanmar pada 25 Ogos lalu.
Katanya, resolusi Majlis Keselamatan menuntut ditamatkan segera keganasan ke atas penduduk awam di Rakhine dan menggariskan langkah mahu penjenayah bertanggungjawab akan ‘menghantar isyarat penting.’
Tentera Myanmar menyiarkan laporan bulan lalu menafikan semua dakwaan rogol dan bunuh dilakukan anggotanya. – Reuters
KOMEN