PUTRAJAYA – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Wilayah Persekutuan (MAIWP) memfailkan permohonan untuk mencelah dalam rayuan kerajaan terhadap keputusan mahkamah rendah berhubung penggunaan perkataan ‘Allah’ dalam pendidikan agama Kristian seorang wanita Sarawak, Jill Ireland.
Peguam Annou Xavier yang mewakili Ireland berkata, pihaknya menerima permohonan mencelah kedua-dua pihak berkenaan.
“Kami akan membantah permohonan itu,” katanya.
Menurutnya, Mahkamah Rayuan menetapkan 12 Julai untuk pengurusan kes sementara membolehkan Ireland memfailkan afidavit bantahan terhadap permohonan MAINJ serta MAIWP itu.
Ini adalah percubaan kedua MAIWP untuk mencelah dalam kes berkenaan.
Sebelum ini, MAIWP memfailkan permohonan sama di Mahkamah Tinggi untuk menjadi responden bersama kerajaan dalam saman yang difailkan Ireland.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi hanya membenarkannya bertindak sebagai ‘amicus curiae’ (sahabat mahkamah) bagi membantu sekiranya memerlukan pendapat pakar mengenai isu dibincangkan.
Peguam MAIWP, Fakhrul Azwan Abu Hasan berkata, pihaknya menerima arahan untuk memfailkan permohonan mencelah sekali lagi di Mahkamah Rayuan.
KOMEN