MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) diarah meneruskan usaha untuk menoktahkan kemiskinan tegar di Wilayah Persekutuan selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, inisiatif tersebut perlu diteruskan dengan pelbagai skim bantuan bagi menyambut komitmen yang dinyatakan Perdana Menteri.
Pada masa sama, kata beliau, semua agensi perlu terus menjaga tatakelola serta mempertingkat mutu kerja dan tahap kecekapan dalam ruang lingkup agensi masing-masing.
“Ini antara mesej utama Perdana Menteri kepada warga Jabatan Perdana Menteri dalam Majlis Perjumpaan bagi bulan Februari 2025 pagi tadi,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Mohd Na’im turut menghadiri perjumpaan bulanan itu.
Kementerian Ekonomi sebelum ini mengumumkan bahawa berdasarkan Bank Data Kemiskinan Nasional eKasih sehingga 31 Disember tahun lepas, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis telah mencatatkan sifar kemiskinan tegar.
Perdana Menteri dalam majlis perjumpaan tersebut turut mengarahkan usaha menjamin kebajikan rakyat seperti membasmi kemiskinan tegar dan projek tebatan banjir disegerakan.
Anwar berkata beliau meminta Perbendaharaan memberi kelonggaran supaya dapat dipercepat melalui peruntukan segera bersama Kementerian Ekonomi dan juga proses pre-queue yang lebih cepat.
Beliau berkata, ini terutamanya melibatkan projek yang melalui proses tender yang memakan masa terlalu lama.
Pada perkembangan lain, Mohd Na’im memaklumkan semua agensi hal ehwal agama diketuai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mula membuat persiapan rapi menjelang Ramadan bulan hadapan.
“Masjid utama di bawah JAKIM serta masjid dan surau seliaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) perlu buat persiapan dari sekarang,” katanya.
KOMEN