Home » Langit Terbuka » MAIPk kutip RM9 juta sumbangan wakaf

MAIPk kutip RM9 juta sumbangan wakaf

IPOH 28 Dis – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) berjaya mengutip RM9 juta sumbangan wakaf sejak Enakmen Wakaf (Perak) 2015 dikuatkuasakan tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Datuk Dr Amiruddin Muhamed berkata, jumlah itu termasuk RM5 juta yang disumbangkan Maybank Islamic dan RM500,000 oleh syarikat berkaitan kerajaan negeri.

Menurutnya, hasil sumbangan itu dapat digunakan untuk membina dua blok bangunan asrama di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang akan digunakan tidak lama lagi.

“Bangunan itu boleh menempatkan 720 penuntut USAS, sekaligus mengurangkan masalah penginapan mereka,” katanya pada satu majlis di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan cek berjumlah RM964,390 kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak sebagai bayaran premium untuk pemberimilikan tanah wakaf negeri ini tahun ini.

Hadir sama Pengarah PTG Perak, Rumaizi Baharin @ Md Daud.

Amiruddin memberitahu, dengan sumbangan wakaf itu, pihak MAIPk dapat melaksanakan pelbagai pembangunan untuk manfaat umat Islam di Perak.

Beliau memberi contoh, pihaknya juga menyerahkan zakat bot kepada nelayan yang layak, di samping pembinaan sebuah pusat hemodialisis di dalam kawasan masjid di Kg Dato’ Seri Kamaruddin di Manjung bernilai RM4 juta.

Beliau menambah, pihaknya akan memajukan tanah-tanah wakaf yang sesuai dengan pembangunan yang boleh memberi manfaat untuk meningkatkan ekonomi umat Islam, seperti pembinaan pusat-pusat perniagaan yang menawarkan kadar sewa berpatutan.

Dalam pada itu, Amiruddin berkata, MAIPk juga akan melaksanakan projek pembinaan pangsapuri yang menawarkan unit kediaman pada harga RM50,000 lebih murah daripada harga pasaran di samping memperkenalkan sistem bayaran zakat secara pandu lalu.- ASTRO AWANI

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *