KUANTAN: Mahkamah Majistret di sini, hari ini memerintahkan seorang lelaki yang videonya tular kerana dilihat cuba memukul imam yang sedang memimpin solat subuh di sebuah masjid di sini, dirujuk ke Hospital Permai, Johor bagi pemeriksaan psikiatri.
Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman membuat perintah itu terhadap bekas tentera Ahmad Paijan Abd Rashid, 38, yang dihadapkan ke mahkamah itu hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan gangguan ketika sembahyang subuh yang sedang dijalankan di ruang solat utama Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1, di sini, kira-kira 6.30 pagi, Ahad lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 296 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, tertuduh yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Mohd Azlan Mohd Arish@Arshad tidak membuat sebarang pengakuan, namun hanya berkata dia terdengar suara.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ezuain Farhana Ahmad dibantu Anuarul Hakim Abdul Muen memohon tertuduh menjalani pemeriksaan di hospital itu mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Mahkamah menetapkan 28 April ini untuk sebutan semula kes.
Baru-baru ini, tular rakaman video menunjukkan seorang lelaki bertindak menolak jemaah sebelum mahu memukul imam yang sedang memimpin solat subuh di masjid itu, namun sempat dielak mangsa. –AlHijrah Online
KOMEN