WASHINGTON, 5 Dis. – Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) membuat keputusan membenarkan Presiden Donald Trump melaksanakan dengan meluas larangan kemasukan bagi umat Islam dari beberapa negara.
Mahkamah itu, dengan dua daripada sembilan hakim menentang, membenarkan permohonan pentadbiran AS untuk membatalkan dua injunksi yang dikeluarkan oleh mahkamah lebih rendah yang menolak larangan kemasukan itu.
Larangan terbuka yang diumumkan pada September lalu, menyasarkan rakyat Iran, Libya, Syria, Yaman, Somalia dan Chad, Korea Utara dan beberapa kakitangan kerajaan dari Venezuela.
Ketika kempen pilihan raya Presiden AS, Trump telah memberi jaminan akan menghalang sepenuhnya umat Islam daripada memasuki AS.
Bagaimanapun, keputusan Mahkamah Agung semalam tidak bermakna proses undang-undang bagi menghalang larangan itu dikuatkuasakan, berakhir.
Walaupun, mahkamah tertinggi negara itu membenarkan larangan dikuatkuasa, proses perundangan membabitkan perintah eksekutif dalam Perlembagaan akan berterusan di mahkamah lebih rendah.
Kesatuan Kebebasan Awam Amerika (ACLU), satu kumpulan yang mengetuai kempen menghalang larangan mengharamkan muslim memasuki AS, menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Agung itu tidak berdasarkan kesahihan perintah eksekutif, dan mengatakan bahawa langkah itu bakal dibatalkan.
“Kepada umat Islam di Amerika Syarikat, mereka yang terpisah daripada orang yang disayangi akibat larangan itu dan setiap orang yang menghargai kesaksamaan agama, kami bersama anda.
“Kami akan terus berjuang untuk kebebasan dan kesaksamaan dan bagi mereka yang tidak adil dipisahkan daripada orang yang tersayang. #NoMuslimBanEver,” kata kumpulan itu dalam laman Twitter mereka.
Hakim Ruth Ginsburg dan Sonia Sotomayor yang dilantik oleh Bill Clinton dan Barack Obama, tidak bersetuju dengan larangan itu.
Pengarah Majlis Perhubungan Amerika-Muslim di Washington, Jasmin Samy menyifatkan keputusan Mahkamah Agung itu sebagai ‘pukulan dahsyat’.
Beliau berkata, perintah eksekutif itu menimbulkan ketakutan dan ketidakstabilan di kalangan komuniti muslim di seluruh AS.
“Namun, ia tidak akan berakhir di situ sahaja. Kami akan membawa kes ke mahkamah dan menentang larangan terhadap muslim,” katanya. – Agensi
KOMEN