PUTRAJAYA – Satu lagi misi menyantuni mangsa banjir diadakan oleh agensi agensi agama Islam persekutuan pada 30 Disember, yang diketuai oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Datuk Haji Ahmad Marzuk Shaary.
Kali ini, melalui Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), seramai 150 pelajar Universiti Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan beberapa pertubuhan mahasiswa seperti GAMIS dan NISA menyertai misi kali ini.
Datuk Ahmad Marzuk dalam ucapan ringkasnya, menzahirkan penghargaan atas pengorbanan tenaga dan masa oleh para peserta misi ini.
Menurutnya, apa yang disumbangkan oleh para peserta adalah sesuatu yang bukan boleh dilaksanakan oleh semua orang.
Beliau pada masa yang sama sempat berpesan agar para peserta menjaga adab dan tingkah laku sepanjang program dilaksanakan untuk mengelakan sebarang persepsi buruk.
Selepas itu, sebaik selesai majlis ringkas pelepasan, para peserta bergerak menuju ke Masjid Abu Bakar di Mentakab untuk pembahagian kumpulan dan menyantuni lokasi terpilih seperti Kampung Batu Kapur dan Kampung Gajah Mati.
Antara agensi lain yang turut sama dalam misi kali ini ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Institut Kefahaman Islam Malaysia, Tabung Haji dan Yayasan Waqaf Malaysia.
Sebelum ini YADIM bersama 400 sukarelawan terlibat dalam misi menyantuni mangsa banjir di Temerloh dan Mentakab.
KOMEN