Madrasah Ramadan mempunyai sistem yang halus dan ketat. Tidak boleh menyanggahi atau melampaui batasannya. Semua orang mesti berusaha untuk mempraktikkan sistem-sistem ini dengan sempurna mungkin.
Mereka hendaklah menjauhkan makanan dan yang berkaitan dengannya, bermula dari azan Subuh, dan hendaklah berbuka puasa serentak ketika azan Maghrib.
Pada siang dan malamnya, hendaklah mengikuti sekadar yang mereka terdaya sukatan-sukatan pelajaran madrasah yang harum mewangi iaitu:
♦            Bersolat secara jemaah
♦            Membaca al-Quran yang penuh keberkatan
♦            Berusaha membuat amalan yang berfaedah
♦            Mengambil berat hal ehwal masyarakat melalui amalan yang soleh
♦            Menafkahkan harta-harta yang halal yang Allah berikan kepada mereka
♦            Beribadat malam hari dengan mengerjakan solat tarawih dan menghidupkan malam al-Qadar
♦            Mengeluarkan zakat fitrah
♦            Menghubungkan silaturahim
♦            Berdoa kebaikan untuk diri sendiri, pasangan, ibu bapanya, anak-anaknya dan orang-orang mukmin.
Jika orang yang berpuasa diherdik oleh seseorang atau diajak bergaduh maka janganlah dia menghadapinya, serta katakanlah: `Sesungguhnya saya berpuasa, sesungguhnya saya berpuasa’.
Dibolehkan berlumba-lumba dalam Madrasah Ramadan. Perlumbaan adalah dituntut dan disukai dengan tujuan mencapai matlamat serta mendapat kejayaan dan kemenangan yang nyata.
Pada setiap sepuluh hari dalam bulan Ramadan pula, ada jadual dan perjanjian tamatnya setiap satu peringkat daripada beberapa peringkat ujian, dan pada setiap peringkat itu diumumkan keputusan-keputusannya.
♦            Pada sepuluh hari yang pertama bulan Ramadan, iaitu sepertiga yang awal,diserahkan sijil Rahmah.
♦            Pada pertengahannya iaitu sepertiga yang kedua, diserahkan sijil Maghfirah (keampunan).
♦            Pada akhirnya , iaitu sepertiga yang ketiga diserahkan sebesar-besar sijil iaitu pembebasan daripada api neraka.
Kemudian, pada hari raya pula adalah hari graduasi dan penyampaian hadiah. Pada hari itu, malaikat berdiri di setiap persimpangan jalan sambil mengalu-alukan orang yang menunaikan solat hari raya.
Mereka berkata: “Demi sesungguhnya kamu telah diperintahkan supaya berpuasa lalu kamu pun berpuasa. Yakni kamu telah berjaya dan memdapat kemenangan. Maka layaklah kamu mendapat hadiah-hadiah daripada Tuhan Yang Maha Pengampun Lagi Maka Mengasihani. Dia menyuruh kamu melakukan kebaikan, kemudian Dia memberikan ganjaran-Nya dengan pahala yang besar.
Maka terimalah hadiah-hadiah kamu, sebagaimana yang telah diberitahu kepada kita oleh Rasulullah SAW, bahawa orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan.
Kegembiraan pertama ialah ketika dia berbuka disebabkan dia telah menyempurnakan ibadatnya dan selamat daripada  segala perkara yang merosakkan, dan kerana semasa  hari raya dia dapat menikmati makanan yang enak-enak serta lain-lain lagi tanpa membazir dan melampaui had. Kegembiraan kedua ialah ketika dia bertemu Allah. Maka pada hari itu orang yang berpuasa akan melihat ganjaran-ganjaran besar yang tersimpan bertalu-talu datang kepadanya disebabkan oleh ibadah puasanya.
Bukankah puasa itu kerana Allah dan Allahlah yang memberikan ganjaran-Nya? Nabi s.a.w bersabda meriwayatkan daripada Tuhannya dalam sebuah hadis Qudsi:
“Semua amalan anak Adam digandakan satu kebajikan sebanyak sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda dan juga sebanyak yang Allah mahu. Allah berfirman: Kecuali puasa, kerana sesungguhnya ia adalah bagi-Ku dan Akulah yang akan membalasnya. Dia (hamba) meninggalkan syahwatnya demi kerana-Ku. Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan. Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu Tuhan-Nya.”(Riwayat al-Bukhari)
Bukan setakat itu sahaja. Jika orang yang berpuasa memberi makanan kepada orang lain yang berpuasa untuk berbuka puasa dengan biayanya atau dengan makanan yang dimakannya maka dia mendapat dua pahala.
Pahalanya, seakan-akan dia berpuasa dua kali Ramadan, dan dalam satu sekolah (madrasah) itu dia menghabiskan dua bulan atau lebih berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh at-Tirmidzi:
“Barang siapa yang memberi orang berpuasa makanan semasa berbuka maka dia mendapat pahalanya (orang yang telah diberikan makanan itu) akan tetapi pahala orang yang berpuasa itu tidak kurang barang sedikit pun.”
Semangat kerohanian yang memancar-mancar itu terus meningkat membawa bersama keharuman tanda-tanda puasa. Ia merupakan perkara paling hebat yang diperolehinya dalam madrasah Ramadan.
Cukuplah puasa itu sebagai satu kemegahan apabila Allah SWT membuat pengisytiharan agung bahawa Dia adalah hampir kepada orang-orang mukmin. Pengisytiharan ini disebutkan-Nya dalam ayat berkaitan puasa dan hukum-hakamnya.
Setelah Allah menyebutkan tentang puasa dan bulan Ramadan yang diturunkan al-Quran padanya, maka Allah berfirman:
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir kepada mereka; Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.” (Surah al-Baqarah: 186)
Apa lagi ketelusan bagi roh tatkala ia mendengar bahawa doa yang merupakan otak ibadat telah diberikan peluang yang baru untuknya daripada tuhan, yang menyahut permintaan orang yang berdoa kepada-Nya.
Oleh itu berdoalah wahai orang yang berpuasa dengan sungguh-sungguh. Dua daun pintu bagi tangga pendakian telah dibuka. Syaitan-syaitan dari kalangan jin telah dibelenggu. Yang tinggal hanyalah syaitan- syaitan dari kalangan manusia. Maka hadapilah mereka dengan cabaran yang jelas dengan menyebutkan: `Sesungguhnya aku berpuasa, sesungguhnya aku berpuasa’.
Ketelusan rohani yang harum semerbak itu seimbang dengan ketelusan sifat memberi, berderma dan bersedekah dengan harta Allah yang diamanahkan kepadanya. Dengan ketelusan rohani sudah memadai bagi seseorang menjadi seorang kaya yang merasa cukup, lalu dia mendermakan harta itu kepada saudara-saudaranya yang berpuasa dan berhajat tanpa mengungkit-ungkit demi mencontohi amalan Rasulullah SAW. Pada bulan Ramadan baginda mirip seperti angin yang bertiup kerana sangat banyak sedekah.
KOMEN