Home » Langit Terbuka » Maal Hijrah: Jauhi hasad dengki, amalan fitnah – Agong

Maal Hijrah: Jauhi hasad dengki, amalan fitnah – Agong

Yang Dipertuan Agong turut menitahkan agar semangat dan roh peristiwa Hijrah dijelmakan dalam bentuk kesatuan dan perpaduan tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan adat resam demi untuk membangunkan sebuah negara pertiwi. - Kredit Foto JAKIM

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu menitahkan rakyat agar menjauhi perasaan hasad dengki dan amalan fitnah memfitnah.

Titah Seri Paduka, rakyat juga hendaklah tidak berfikiran sempit dan negatif kerana sifat dan amalan itu tidak akan mendatangkan faedah kepada bangsa dan negara.

“Beta ingin mengajak seluruh rakyat bersatu hati dalam membentuk sebuah masyarakat yang lembut dalam berbicara, halus dalam berpesan, harmoni dalam ikatan persaudaraan, jujur dalam pekerjaan, amanah dalam menggalas tugas dan gagah perkasa dalam mencipta kejayaan,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/ 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pada Rabu.

Turut berangkat ke majlis itu Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sempena sambutan itu, Al-Sultan Abdullah turut menitahkan agar semangat dan roh peristiwa Hijrah dijelmakan dalam bentuk kesatuan dan perpaduan tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan adat resam demi untuk membangunkan sebuah negara pertiwi.

Titah Seri Paduka, sejarah penyatuan dan kesepaduan kaum Muhajirin dan Ansar yang berlaku 1,400 tahun yang lepas, adalah semangat hijrah yang wajar dijadikan pedoman utama dalam mengurus kepelbagaian dan kerencaman negara.

Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah mengajak rakyat negara ini bersama-sama menghayati tema sambutan Maal Hjrah peringkat kebangsaan pada tahun ini iaitu ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’. – Sinar Harian

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *