KUALA LUMPUR 20 Feb. – Maahad tahfiz milik persendirian di ibu negara, Putrajaya dan Labuan disaran mendaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk memudahkan proses penyeragaman pentadbiran dan kualiti pendidikan di pusat pengajian berkenaan.
Penaung Puspanita Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Anggraini Sentiyaki berkata, usaha itu perlu dilaksanakan untuk memudahkan kerajaan memantau operasi pusat pengajian al-Quran itu termasuk proses menyalurkan bantuan.
“Usaha ini penting untuk memastikan sukatan pelajaran yang diguna pakai di maahad tahfiz menepati garis panduan yang ditetapkan oleh Jakim,” katanya semasa menyampaikan sumbangan kepada dua buah maahad tahfiz di Labuan, baru-baru ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kesejahteraan Bandar, Datuk Dr. Mustapha Ahmad Marican serta Pengerusi Puspanita Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Aslinah Mohd. Ariffin.
Sumbangan berjumlah RM5,000 itu disampaikan kepada wakil daripada Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Badr dan Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Ummi di Kerupang, Labuan termasuk cenderahati kepada 150 pelajar dan pengajar. – UTUSAN ONLINE
KOMEN