SHAH ALAM – khas Covid-19 Lembaga Zakat Selangor (LZS) dikreditkan terus ke akaun bank penerima secara berfasa bermula 27 Mac lalu dan pembayaran keseluruhan dijangka selesai, 3 April ini.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop berkata, pembayaran itu membabitkan penyaluran agihan zakat sebanyak RM14 juta dan memberi manfaat kepada 29,000 penerima yang layak.
Katanya, daripada jumlah itu, 9,000 penerima dalam kalangan asnaf fakir, miskin dan mualaf yang menerima bantuan khas sebanyak RM500 setiap keluarga dengan jumlah keseluruhan agihan zakat sebanyak RM4.5 juta.
“Manakala, seramai 20,000 penerima lagi dalam kalangan B40 khususnya golongan penjaja dan peniaga kecil serta keluarga (B40) yang terjejas sumber pendapatan turut menerima bantuan maksimum sehingga RM500.
“Ia membabitkan jumlah agihan zakat sebanyak RM9.5 juta menggunakan peruntukan asnaf fisabilillah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, LZS turut mengagihkan wang zakat sebanyak RM1 juta kepada hospital kerajaan dan Pusat Kesihatan Daerah (PKD), petugas barisan hadapan yang menangani wabak Covid-19 dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di Selangor.
“Ia membabitkan pembelian Peralatan Perlindungan Diri (PPE) kepada hospital dan PKD serta makanan kepada petugas.
“Manakala, bantuan makanan kepada penuntut IPT turut disalurkan melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan pengurusan (IPT).
“Untuk rekod, jumlah keseluruhan bantuan agihan khas sudahdisalurkan oleh LZS adalah sebanyak RM15 juta bagi memenuhi keperluan kebajikan dan perubatan kepada golongan yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19,” katanya.
Sementara itu, Saipolyazan berkata, selain agihan khas, LZS turut menyalurkan RM30.5 juta sebagai bantuan bulanan kepada asnaf fakir, miskin, mualaf dan gharimin yang berdaftar.
Menurut Saipolyazan, agihan itu membabitkan asnaf yang menerima bantuan zakat bulanan seperti kewangan, sewa rumah, rawatan dialisis dan perubatan.
“Manakala, seramai 14,909 asnaf fakir dan miskin turut dipastikan kelangsungan makanan bulanan sewaktu Covid-19 ini bagi mengelakkan mereka terputus bekalan.
“Bantuan berbentuk bulanan akan tetap disalurkan kepada asnaf sedia ada, sekaligus membantu mengurangkan beban mereka terutama pada waktu ini,” katanya.
Saipolyazan menyeru masyarakat Islam untuk terus menunaikan zakat melalui LZS secara dalam talian dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my atau menerusi perbankan Internet.
“Ini secara langsung dapat bersama-sama LZS membantu golongan yang terjejas disebabkan Covid-19 terutama golongan asnaf fakir dan miskin yang amat bergantung dengan bantuan disalurkan oleh LZS ,” katanya. – Harian Metro
KOMEN