ALOR SETAR — Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menyasarkan kutipan zakat di Kedah, tahun ini mencecah sehingga RM225 juta.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syeikh Zakaria Othman berkata sasaran itu berdasarkan trend kepercayaan orang ramai terhadap institusi itu yang semakin meningkat selepas langkah transformasi pengurusan yang dilakukan sejak tiga tahun lepas.
“Saya menjangkakan kutipan zakat tahun ini mampu mencecah RM225 juta berbanding tahun lepas hanya mencatatkan kutipan RM184 juta, manakala pada 2017 sekadar RM140 juta.
“Sehingga hari ini, kutipan adalah memberangsangkan dengan RM178 juta dan agihan pula sebanyak RM176 juta, kutipan yang makin meningkat ini hasil transformasi pengurusan yang dibuat pengurusan sehingga kita dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap pengagihan dan kutipan zakat.
“Malah dengan pelaksanaan kutipan menerusi aplikasi ‘Zakat On Touch’ (ZOT), orang ramai boleh melihat maklumat dan data yang sentiasa dikemaskini dengan jelas,” katanya kepada pemberita pada Program Ikhtiar Tabung Haji (TH) di sini.
Turut hadir, Pengarah TH Kedah, Nawawi Ishak yang turut menyampaikan peruntukan TH sebanyak RM150,000 kepada LZNK untuk diagih kepada 31 usahawan asnaf bagi memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.
Sementara itu, Zakaria berharap syarikat-syarikat swasta dapat mencontohi Agro Bank yang menjadi syarikat pertama mengambil bahagian membiayai makanan asas menerusi program Food Bank di enam masjid di negeri ini.
“Kita mengalu-alukan lebih banyak syarikat terlibat dalam program ini, Alhamdulillah setakat ini sebanyak empat buah syarikat sedang berbincang untuk membiayai set makanan asas di masjid-masjid terpilih di mana mereka boleh menggunakan bungkusan nama syarikat masing-masing,” katanya.
Untuk rekod, LZNK memerlukan kira-kira 18,000 set makanan berupa beras, tepung, gula dan minyak masak untuk dibekalkan kepada fakir miskin setiap bulan.- Bernama
KOMEN