Home » Persuasif » Liberalisme Kembali ?

Liberalisme Kembali ?

ALI miliki kereta. Kerana malas ke stesen minyak, dia tuang air paip ke dalam tangki minyak. Ada yang menegur dan dia dengan tegas menjawab: “Ikut suka aku, ini kereta aku, apa masalah?.” Penulis tidak memerlukan jawapan pembaca!.

Hidup ini ada peraturan. Langsung tidak boleh main ‘langgar’ begitu sahaja. Masalahnya, ramai pula yang bertindak demikian, kononnya berlandaskan neraca keadilan dan hak kemanusiaan. Jangan pandang rendah, kerana saban hari penyokongnya bukan semakin berkurangan tetapi sebaliknya mencanak naik.

Jadi apa tindakan kita? Berserah sahaja tanpa perlu berbuat apa-apa? Biarkannya terus menghancurkan kesucian agama Islam, sekali gus merosakkan tamadun manusia?

Isu inilah yang dibincangkan dalam program live streaming Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Mutiara Minda bertajuk ‘Liberalisme Kembali!’ dengan panelisnya, Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Nur Mohamad Hadi Zahalan yang juga Pengasas Akademi al-Bayan. Program itu dikendalikan oleh Pencetus Ummah, Akram Ikrami sebagai moderator.

YADIM: Sejauh mana liberalism menjadi ancaman kepada Islam?

NUR MOHAMAD: Dunia kini bukan berpaksi kepada peperangan mengangkat senjata lagi, namun ada yang lagi dahsyat iaitu peperangan pemikiran. Liberalisme bermaksud pemikiran bebas yang mahu bergerak tanpa sekatan dan had berpandukan akal semata-mata. Pemikiran ini mudah meresap umat Islam yang tidak mempunyai asas agama kukuh.

YADIM: Sekularisme, Pluralisme dan Liberalisme macam mana nak bezakan antara satu sama lain?

NUR MOHAMAD: Sekularisme asasnya adalah memisahkan antara agama dan dunia. Apabila dah meresap dalam pemikiran dan kehidupan, maka timbul liberalisme.

Liberalisme – mahukan kebebasan dan enggan terikat dengan agama.

Pluralisme – Apabila enggan terikat dengan agama, maka timbul pluralisme yang menyamakan semua agama, iaitu tiada yang lebih tinggi, semua agama sama.

Kesimpulannya, sekularisme adalah ibu bagi segalanya.

Berbeza dengan Islam, ia dipandu oleh agama dalam setiap inci kehidupan. Agama suci ini mempunyai benchmark iaitu seperti ada ikatan syurga, neraka, dosa dan pahala.

YADIM: Apa tarikan pemikiran liberalisme?

NUR MOHAMAD: Asasnya kerana mahukan kesamarataan dan kebebasan. Contohnya mempersoalkan hukum faraid yang didakwa tidak adil. Kononnya ia perlu disamaratakan (hukum asal – lelaki dua bahagian dan wanita satu bahagian) dengan alasan logik akal lelaki boleh bekerja untuk mencari wang manakala wanita yang lemah hanya kena duduk di rumah dan susah untuk mendapat kerja.

Ramai yang tertarik kerana guna logik akal dalam setiap kritikan terhadap hukum Islam. Islam dah beri jawapan seperti dalam hukum faraid tetapi kerana tidak menepati kehendak, maka ia ditolak bulat-bulat.

Ini bermakna kena kukuhkan pegangan akidah dan fahaman agama kerana dengan wujudnya kelompongan ini menyebabkan mudah terpesong dan menerima pemikiran sebegitu.

Bukan semua perintah Allah dan isu hukum boleh dijawab dengan logik akal, ada yang boleh dijawab dan sebaliknya kerana yang mengetahui jawapannya adalah Allah sahaja.

Contohnya solat Subuh kenapa dua rakaat, Zohor empat rakaat, sepatutnya samaratakan jadi dua rakaat semua. Asasnya dalam Islam kita tidak boleh fikirkan perkara yang di luar batasan pemikiran akal, ia dipanggil ‘taabudiah’ iaitu wajib beriman dengan perintah ditetapkan Allah sama ada reda atau sebaliknya.

Kadangkala kita tak tahu rahsianya tapi lepas sekian lama, lepas kajian demi kajian barulah ditemukan jawapannya.

Contoh lain ialah kebebasan membuka aurat, kebebasan LGBT berkahwin sesama jantina, buang perkataan Islam dalam kad pengenalan, mahukan Islam hanya sebagai agama rasmi bukannya Persekutuan, poligami dihapuskan, murtad dibenarkan dan hak mutlak untuk isteri menceraikan isteri.

YADIM: Bolehkah dibuat undang-undang berat bagi menghapuskan pemikiran pelik-pelik?

NUR MOHAMAD: Islam adalah agama mendidik, mengajar dan seboleh-bolehnya tidak mahu menghukum. Nabi Muhammad SAW diutuskan untuk mendidik, bukannya menghukum.

Memang boleh buat tindakan tegas tapi yang paling baik ialah menggiatkan kerja-kerja dakwah kerana isu pemikiran perlu diatasi dengan pemikiran juga.Perlu turun padang, usaha dakwah tidak boleh secara ekslusif hanya di masjid-masjid sahaja. Nabi dan para sahabat pun macam tu, buktinya aalah tersebarnya Islam ke 2/3 pelosok dunia.

YADIM: Badan dakwah, Majlis Agama Islam seperti hanya utamakan amar maaruf sahaja tapi macam tiada nahi mungkar dan ia tidak selari dengan kumpulan liberalisme yang begitu agresif?

NUR MOHAMAD: Semua pihak telah mainkan peranan dengan baik, namun biasalah manusia mempunyai kelemahan. Antara cadangan untuk tambah baik:

1. Orang agama kena turun padang – cari masyarakat yang ketandusan ilmu. Dakwah adalah mendatangi bukannya menunggu untuk didatangi.

2. Muzakarah fatwa dalam sesuatu isu perlu disiarkan kepada umum, bawa ke dalam televisyen seperti sidang Parlimen. Ia bagi membolehkan masyarakat mengetahui apa yang dibincangkan, iaitu bukannya senang untuk mengeluarkan sebarang fatwa, ia perlu diperincikan sebaik mungkin dari pelbagai aspek.

Apa yang dibincangkan dalam Parlimen ramai juga yang tidak faham tapi tetap juga disiarkan dalam televisyen, jadi tidak timbul isu dengan muzakarah fatwa.

Bila ditutup seolah-olah hanya mengeluarkan fatwa tapi enggan mengajar dan mendidik masyarakat. Jangan bimbang masyarakat Malaysia adalah masyarakat yang bijak, jangan terus anggap bahawa umum tidak faham apa yang dibincangkan.

3. Pastikan dana kepada institusi berkaitan agama mencukupi termasuk perjawatan kakitangan. Ia penting bagi menjayakan perancangan yang sewajarnya. Sebelum meletup kena selesaikan, bukannya apabila sudah meletup baru nak fikir cara atasinya.

Tarmizi Ab Rahim ialah mantan Pengarang Meja Agama Utusan Malaysia. Berpengalaman luas dalam bidang penulisan dan kewartawanan, beliau kini menulis dan berkongsi pengalaman di pelbagai platform.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *