KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menafikan dakwaan kononnya pihak berkuasa agama di negeri-negeri tidak mengambil sebarang tindakan berhubung penularan fahaman liberal di media sosial seperti dilaporkan sebuah akhbar tempatan.
Beliau berkata, pihaknya maklum mengenai perkara itu secara umum dan pendekatan yang diambil pada kebiasaannya termasuk berbentuk nasihat dan perbincangan.
“Dalam hal ini sebenarnya kita ada dua tiga perkara, pertama sekali saya mesti dapatkan maklumat yang jelas dan tepat dalam isu ini…perkara ini bukan perkara yang kita tidak ambil tindakan, kadang-kadang mereka (Majlis Agama Islam) melaksanakannya dalam bentuk menasihati, berbincang dan seumpamanya.
“Kita telah ada (pendekatan dan tindakan) di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, sebagai contoh Pejabat Mufti dan kita juga ada dalam Fatwa Peringkat Kebangsaan atau muzakarah atau peringkat negeri termasuk Wilayah Persekutuan, kita sudah bersama-sama dalam mengemukakan isu ini,” katanya.
Justeru, Zulkifli berkata pihaknya akan mengambil satu pendekatan yang cepat dan berhemah dalam menangani isu fahaman liberal itu.
“Insya-Allah kita akan tengok yang terbaik untuk kita selesaikan sebaik mungkin,” katanya. – Sinar Harian
KOMEN