NARATHIWAT – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dicadangkan untuk melibatkan diri dalam pembangunan pendidikan dari peringkat kanak kanak di wilayah Selatan Thailand.
Usaha tersebut yang bertujuan untuk membantu sosio ekonomi masyarakat di sana dilihat lebih sesuai dengan kehendak penduduknya yang rata rata mahu kemudahan pendidikan dari peringkat tadika dipertingkatkan.
Ia merupakan cadangan yang disampaikan kepada YADIM dalam satu pertemuan ketika rangka lawatannya ke wilayah Selatan Thailand baru baru ini.
Pertemuan tersebut berlangsung di Pusat Pengajian Islam dan Bahasa Arab di Princess of Naradiwas Universiti di sini.
Dalam pertemuan yang dihadiri oleh wakil Majlis Agama Islam Narathiwat, wakil madrasah dan pondok pengajian agama ini, mereka berharap menerusi cadangan itu, aspek modal insan penduduk dapat ditingkatkan.
Mereka turut menyatakan keperluan untuk latihan bagi imam imam dan guru guru Muslim di sini.
Mewakili YADIM ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya, Yang Berusaha Dr Muhamad Razak Idris, Pengarah Kanan Sektor Penyelidikan, Penerbitan dan Antarabangsa, Dr Masitah Esa serta Pengarah Bahagian Hubungan Antarabangsa, Norazira Jaafar.
Dalam reaksi balasnya, badan dakwah ini memberi pandangan, latihan juga boleh diberikan kepada guru selain pengiktirafan dengan pemberian sijil setelah tamat latihan sebagai nilai tambah.
Turut dicadangkan ialah pembinaan pusat latihan untuk guru di sini.
Kertas cadangan bagi tujuan ini akan disediakan YADIM dan dibawa ke Jawatankuasa Teknikal Mesyuarat Pegawai Kanan sebelum dikemukakan dalam mesyuarat Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama; Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) nanti.
KOMEN