KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa golongan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender), konsep negara sekular dan ideologi komunis tidak mungkin diiktiraf dalam Kerajaan Perpaduan.
Bercakap dalam program Naratif Khas bersama Perdana Menteri di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 6 Januari, Anwar berkata perkara itu hanya dibangkitkan oleh pihak tertentu yang cuba menyebarkan perkara tidak benar.
“Kadang orang politik ini dia kata umpama kalau Anwar jadi perdana menteri maka habis Islam dan sekular akan bertapak, LGBT disahkan, orang komunis bertapak.
“Ini igauan siang hari. Tentunya tidak berlaku dan insya-Allah di bawah kuasa pentadbiran saya perkara ini tidak mungkin berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya dakwaan yang menyifatkan Anwar sebagai pemimpin yang menjalankan pemerintahan berbentuk diktator.
Menjawab dakwaan bahawa perjanjian persefahaman kerja sama antara Pakatan Harapan (PH) dengan gabungan parti yang menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan diadakan kerana pentadbirannya tidak kukuh, Anwar berkata ia dilakukan kerana majoriti yang diperoleh pada waktu itu terlalu kecil.
Bagaimanapun bagi membuktikan sokongan, Anwar berkata beliau sendiri membawa Usul Undi Percaya pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang lepas, selepas dicabar oleh pembangkang yang mempersoalkan keabsahannya.
“Usul (Undi) Percaya ini dicabar oleh pihak pembangkang. Dia kata Anwar tidak ada dokongan, buktikan dan dalam sistem demokrasi, cara yang terbaik membuktikan kekuatan adalah undi percaya atau undi tidak percaya yang mana itu tidak diusulkan.
“Maka saya kemukakan ini dan Alhamdulillah kita dapat dokongan kuat. Jadi soal kata saya diktator itu di mana? Apakah saya melanggar hukum?,” katanya.
Pada hari pertama persidangan itu, keabsahan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 dibuktikan apabila Usul Undi Percaya yang dibawa oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, diluluskan dengan undian suara, yang berkesudahan lebih suara bersetuju.
Ditanya mengenai tindakan saman yang diambilnya terhadap beberapa individu, Anwar berkata perkara itu dilakukan kerana tuduhan yang dikeluarkan mereka menyentuh kewibawaan beliau sebagai pemimpin.
“Ribuan tuduhan dibuat, fitnah dilemparkan dan puluhan tahun ini saya dah terima, tetapi kalau saya rasa agak terlanjur, melebih dan melibatkan soal kewibawaan dan kredibiliti saya sebagai pemimpin, maka harus diajar bahawa kebebasan ini bukan kebebasan untuk fitnah.
“Apatah lagi kalau kita pakai payung agama, kemudian kita fitnah, kita buat qazaf, saya minta tok guru mereka, ustaz mereka ajar mereka dahulu sebelum ajar orang-orang lain,” katanya. – AlHijrah Online
KOMEN