KUALA LUMPUR 25 Okt. – Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran Pendidikan Agama Islam (Lepai) menyarankan kerajaan negeri membuat penjenamaan semula terhadap Sekolah Agama Negeri (SAN) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dalam menjadikannya sebagai pusat pendidikan agama islam yang terbaik.
Pengerusinya, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor berkata, penjenamaan itu perlu dilakukan bagi menepis persepsi negatif segelintir masyarakat mengenai sekolah aliran agama tersebut sebagai institusi pendidikan kelas kedua.
“Kedudukan sekolah aliran agama tersebut perlu diletakkan di tempat sewajarnya dengan memastikan sistem pendidikan agama Islam di sekolah tersebut mampu melahirkan modal insan yang dapat menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan agama, bangsa dan negara.
“Melalui penjenamaan ini, setiap negeri akan mempunyai sekurang-kurangnya sebuah sekolah agama negeri dan rakyat yang terbaik di bawah penyelarasan Lepai malah akan menjadi model kepada sekolah-sekolah lain,” katanya dalam sidang akhbar Persidangan Lepai di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi dekat sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Exco kerajaan negeri lain di bawah portfolio agama islam.
Sementara itu, Lepai menerusi persidangan tersebut, turut mengkaji cadangan penubuhan Akademi Bahasa Arab bagi memberi kursus intensif selama tiga bulan kepada pelajar SAN dan SAR tersebut sebagai usaha mengatasi kelemahan penguasaan bahasa arab dalam kalangan mereka.
“Akademi ini dilihat dapat membantu pelajar yang lemah penguasaan bahasa Arab sebelum melanjutkan pelajaran ke luar negara khususnya di Asia Barat seperti Universiti Al Azhar,” katanya. – UTUSAN ONLINE
KOMEN