Home » Aspirasi » Lelaki Ini Memeluk Islam Kerana Mohamed Salah

Lelaki Ini Memeluk Islam Kerana Mohamed Salah

Bagi Ben Bird (kiri), Mohamad Salah adalah contoh seorang Muslim yang wajar diikuti. - Foto Tribunnews

Pemain bola sepak datang dari pelbagai latar belakang bangsa, budaya atau agama. Bagi pemain-pemain yang hebat, mereka ini menjadi inspirasi kepada para penyokong dan menyumbang kepada kejayaan pasukan sama ada di atas padang atau di luar padang.

Dan ada yang menjadi asbab hidayah Allah SWT bagi sesetengah penyokong memeluk agama Islam. Ini berlaku kepada seorang pemegang tiket bermusim Nottingham Forest bernama Ben Bird dan kisah pengislamannya ada kaitan dengan penyerang Liverpool, Mohamed Salah.

Bagi Bird, dia tidak berfikir rakan-rakannya akan percaya bahawa dia telah memeluk agama tauhid kerana secara luarannya, tidak banyak perubahan berlaku pada dirinya. Tetapi Bird dapat merasakan selepas memeluk Islam, hatinya menjadi bertambah baik.

Dan setiap kali menjelang hari perlawanan, dia berusaha mengubah tabiat yang menjadi sudah sebati dengan budaya penyokong Inggeris iaitu pergi ke pub, bertaruh, pergi ke stadium, kembali ke pub dan mengetahui sama ada pertaruhan yang dibuat menjadi atau tidak.

Bird mengakui sebelum pengislamannya, dia mempunyai pandangan negatif terhadap Islam.

Dia menyifatkan agama, budaya dan penganutnya ketika itu sebagai mundur, kolot dan enggan berintegrasi. Pandangan negatif ini turut disemarakkan lagi dengan penemuan halaman-halaman media bersifat haluan kanan semasa di tingkatan enam yang menyebarkan propaganda-propaganda negatif terhadap Islam.

Padanya, apa saja malang yang menimpa dirinya ketika itu, yang salah ialah orang Islam. Namun di sebalik semua itu, Bird tidak pernah mengeluarkan mesej-mesej negatif terhadap Muslim.

Namun, semua itu berubah apabila dia melanjutkan pelajaran dalam jurusan Pengajian Timur Tengah di Universiti Leeds.

Pada satu ketika, Bird dan rakan-rakannya diminta membuat disertasi. Tatkala rakan-rakannya memilih tajuk yang dianggap tipikal, dia mahu mencari satu kelainan. Ini menyebabkan tutor disleksianya berkata, “Apa kata kamu tulis berkenaan lagu Mohamed Salah?”

Bagi Bird, lagu penyokong Liverpool itu bukan sesuatu yang asing dan dia sendiri menganggap lagu itu hebat tetapi tidak pernah dibincangkan dalam konteks akademik. Ini yang membawa soalan yang berbunyi, ‘Mohamed Salah, a gift from Allah. Is the performance of Mohamed Salah igniting a conversation that combats Islamapobia within the media and political spheres?’

Lagu kegemaran penyokong ini mengikut irama lagu Dodgy bertajuk Good Enough dan turut memasukkan lirik ‘If he scores another few then I’ll be Muslim too’ (Jika dia menjaringkan beberapa gol lagi, aku akan jadi Muslim juga).

Bagi Bird, lirik lagu itu kelihatan memberi kesan mendalam kepada dirinya. Ini kerana menerusi pengajiannya di Universiti Leeds, dia mengenali Islam dari sudut berbeza termasuk dari sudut akademik. Selepas bercampur dengan ramai orang termasuk pelajar-pelajar dari Arab Saudi, ia mengubah mentalitinya terhadap negara-negara Arab 360 darjah.

Bird melihat Salah sebagai Muslim pertama yang boleh dikaitkan dengan orang biasa seperti dirinya dalam pelbagai segi termasuk gaya hidup dan cara percakapan dengan orang lain.

Pada minggu sebelumnya, Salah mengambil gambar dengan seorang peminat Liverpool yang mengalami kecederaan patah hidung apabila cuba mengejarnya. Menurut Bird, perkara ini mungkin dilakukan oleh sesetengah pemain tetapi sudah dilakukan oleh pemain kelahiran Mesir itu.

Dia tidak menyangka tahap populariti yang dinikmati oleh bekas penyerang Chelsea dan AS Roma itu di negara kelahirannya. Bird pernah menemubual beberapa pelajar Mesir di Leeds dan selepas mereka mengetahui disertasi yang dibuatnya, mereka tidak putus-putus bercerita tentang Salah termasuk sumbangannya kepada negara. Semasa pilihan raya presiden Mesir tahun lepas yang dimenangi oleh penyandang Abdel Fattah el-Sisi, sejuta rakyat Mesir memilih undi rosak dan mahukan wira Liverpool itu sebagai presiden baru Mesir.

Salah seorang daripada mereka turut bercerita bahawa Salah merupakan contoh bagaimana menjadi seorang Muslim termasuk dalam soal menjalankan perintah agama. Dia percaya bahawa Salah sebenarnya menjadikan orang ramai mencintai Muslim semula.

Dialog yang dilontarkan pelajar Mesir itu memberi kesan kepada Bird. Ini kerana setiap kali Salah menjaringkan gol, dia berpandangan penyerang Mesir itu menjaringkan gol demi agama. Apabila beliau menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah pertamanya bersama Reds musim lepas, Bird memberitahu seorang rakannya bahawa ia merupakan satu kemenangan kepada Islam.

Dan setiap kali menjaringkan gol, Salah sentiasa sujud sekaligus menonjolkan simbol agama Islam itu kepada dunia lebih-lebih lagi bila perlawanan-perlawanan Liga Perdana Inggeris ditonton oleh jutaan orang.

Salah menunjukkan kepada semua orang bahawa tidak salah menjadi seorang Muslim dan diri sendiri. Beliau bukan saja seorang pemain hebat tetapi juga dihormati oleh komuniti bola sepak tanpa mengambil kira pandangan politik atau agamanya. Dan menurut Bird, itu boleh dilakukan bola sepak dalam mengubah konotasi negatif yang dilempar sesetengah pihak terhadap Islam. Apabila orang membaca al-Quran atau membaca tentang Islam, mereka melihat sesuatu yang berbeza daripada apa yang dipaparkan dalam media.

Melihat masyarakat Britain yang datang dari latar belakang agama, kerakyatan dan kaum yang pelbagai, sebarang bentuk penghinaan tidak sepatutnya wujud terutama dalam sukan bola sepak. Bird masih ingat pada April 2019, sekumpulan penyokong Chelsea menyanyikan lagu ‘Salah is a bomber’ (Salah seorang pengebom) sebelum perlawanan Liga Europa menentang Slavia Prague. Ini mengundang reaksi negatif bukan saja daripada Chelsea dan Liverpool tetapi juga komuniti Muslim. Bagi Bird, walaupun beliau juga suka menyanyi lagu pasukan masing-masing, itu bukan lesen untuk menaikkan perkara yang berunsur kebencian.

Dan itu membuatkannya terfikir, bagi membantu mengatasi isu Islamophobia yang membelenggu dunia Barat, solusinya ialah bola sepak dengan menggalakkan anak-anak muda bermain dan komuniti Muslim datang ke stadium. Satu sebab mengapa komuniti Muslim enggan ke stadium menurut Bird ialah tidak mahu merasakan wujud pengasingan membabitkan komuniti mereka. Tambahnya lagi, itu saja menunjukkan bahawa Islam bukan saja agama keamanan tetapi juga menunjukkan persaudaraan sesama Muslim bersifat universal tanpa mengira bangsa dan warna kulit. Dan jurucakap terbaik dalam gerakan ini ialah Salah. – The Patriots

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *