Home » Langit Terbuka » Lebih baik buat di masjid, Muhyiddin nasihat penganjur himpunan 8 Disember

Lebih baik buat di masjid, Muhyiddin nasihat penganjur himpunan 8 Disember

Menteri Dalam Negeri berkata penganjur tidak perlu menunjuk perasaan kerana keputusan kerajaan tidak mengesahkan perjanjian antarabangsa itu adalah muktamad - foto Kosmo

PUTRAJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi menasihatkan penganjur himpunan menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) untuk tidak mengadakan acara mereka di Dataran Merdeka pada 8 Disember ini.

Menteri Dalam Negeri berkata penganjur tidak perlu menunjuk perasaan kerana keputusan kerajaan tidak mengesahkan perjanjian antarabangsa itu adalah muktamad.

“Sekarang hendak ucapkan syukur pula. Lebih baik buat di masjid, buat doa selamat dalam keadaan tenteram. Ini lebih molek,” katanya pada sidang media di Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Terdahulu, penganjur Aminuddin Yahya menempelak Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mengatakan himpunan 8 Disember depan itu “gimik politik nakal”.

“Sebagai seorang Islam, peliklah jika bersyukur dilihat sebagai tindakan nakal,” katanya.

Muhyiddin menasihat penganjur untuk tidak meneruskan hasrat itu kerana menganjurkan himpunan itu suatu kerja susah dan memakan belanja.

“Nak adakan himpunan ini susah. Jadi jimatkan wang untuk belanja yang lain-lain. Tapi kalau masih berdegil, lihat peraturan bawah Akta Perhimpunan Aman. Semua yang ikut himpunan itu perlu patuh.

“Kalau tidak ada himpunan itu lebih baik,” katanya. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *