PADA zaman dahulu kala, ada seorang pemimpin yang bermadah daripada bahasa asing yang menjadi kebanggaannya menyebut, “adalah lebih baik bersama syaitan yang dikenali daripada bersama malaikat yang tidak dikenali”.
Kenyataan yang mengejutkan seseorang yang beriman, kerana kita disuruh beriman kepada malaikat makhluk yang baik dan mulia walaupun kita tidak pernah melihatnya dengan mata.
Adapun syaitan itu telah ditetapkan sifat wajibnya, jahat dan menipu walaupun dia berupa manusia yang segak dan menarik.
ALLAH berfirman mahfumnya:“Para Malaikat itu tidak sekali-kali durhakakan ALLAH terhadap apa-apa sahaja yang diperintah kepada mereka supaya melakukannya dan mereka mesti melakukan apa sahaja yang diperintah (ALLAH) kepada mereka supaya dilaksanakan” (Surah At-Tahrim: 6)
Sebaliknya syaitan pula, ALLAH menyuruh hamba-Nya supaya memohon perlindungan ALLAH daripada kejahatannya dalam surah yang terakhir daripada Kitab Suci al-Quran dan setiap kali memulakan bacaan al-Quran.
Ia menunjukkan betapa bahayanya syaitan itu dalam kehidupan manusia, sehingga orang membaca al-Quran boleh ditipunya, termasuk yang bersembahyang, apatah lagi yang buta al-Quran atau kurang sembahyangnya dan lebih lagi kalau tidak sembahyang, kerana terus boleh dikerah bila-bila masa dan di mana sahaja menjadi khadam atau agennya.
Mungkin yang mengenali syaitan itu sudah bersahabat dengannya. Oleh kerana tidak pernah melihat malaikat, maka dirasakan syaitanlah yang lebih berjasa dan berbudi, atau dia juga berperangai menipu dan berputar belit seperti syaitan.
Adapun orang yang beriman sudah cukup percaya dengan pesanan al-Quran dan nasihat Rasulullah SAW Kalau dia pernah ditipu atau disesatkan oleh syaitan, maka dengan segera insaf dan kembali ke pangkal jalan.
Satu kisah menarik dalam kitab Tasawuf menceritakan pada zaman dahulu bagaimana seorang lebai yang kuat beragama ditipu oleh syaitan walaupun sembahyangnya tidak ditinggalkan. Apabila diketahuinya penduduk sebuah kampung memuja pokok yang disangka penunggu daripada syaitan yang berbudi kepada mereka sehingga menjadikan hasil pertaniannya subur, maka pokok itu menjadi tempat pemujaan.
Maka si lebai yang kuat bersemangat agama itu mahu mencegah kemungkaran syirik memuja syaitan membawa kapak dengan niat ikhlas kerana ALLAH bersemangat menebang pokok yang dipuja.
Apabila tiba ditempatnya muncullah syaitan yang disangka menjadi penunggu itu menghalangnya. Maka bergelutlah dia dengan syaitan itu, kerana tujuannya kerana ALLAH, syaitan dapat dikalahkannya.
Tiba-tiba syaitan yang pandai menipu itu merayu supaya dia dibebaskan dengan tawaran yang menarik, menjanjikan kepada pak lebai bahawa dia akan meletakkan duit di bawah tikar sembahyangnya setiap pagi.
Dengan tawaran duit ini, maka pak lebai sedia membebaskan syaitan yang sudah dikenali dengan janjinya yang menarik itu.
Arkian kisah cerita berikutnya, pak lebai mendapati memang ada duit yang dijanjikan di bawah tikar sembahyangnya, maka terikat kasih kepada syaitan yang dikenali kerana duit itu.
Al-kisah setelah beberapa hari tiba-tiba duit tidak ada lagi. Maka marahlah pak lebai kerana syaitan sudah menipunya dan mungkir janji. Terus dipikul kapaknya dengan penuh semangat berhasrat untuk menebang pokok kerana marahnya kepada syaitan yang memungkiri janji tidak ada lagi duit yang diberikan, bukan lagi kerana mencegah kemungkaran yang akan dicatat oleh malaikat yang tidak dilihatnya akan amal pahala menentang syaitan itu.
Apabila dia sampai, syaitan terus menghalang dan berlaku pergelutan yang sengit, tiba-tiba kali ini syaitan yang menang dan pak lebai menyerah kalah.
Demikianlah akibat percaya kepada syaitan yang dapat dilihat dan tidak percaya kepada malaikat yang tidak dapat dilihat. – SINAR HARIAN
KOMEN