Home » Langit Terbuka » Lebih 700 asnaf dan anak yatim disantuni sempena Ramadan

Lebih 700 asnaf dan anak yatim disantuni sempena Ramadan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima di Masjid Jamek Kampung Baru. - Foto JAWI

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini  (7 Mei) menyantuni lebih 700 anak yatim dan asnaf dengan mengagihkan sumbangan berbentuk barangan keperluan harian dan wang tunai di Masjid Jamek Kampung Baru, di sini.

Beliau berkata bantuan berjumlah lebih RM200,000 merupakan sumbangan termasuk daripada sektor korporat, badan bukan kerajaan dan orang ramai itu adalah bagi meringankan beban golongan asnaf dan anak yatim khususnya pada bulan Ramadan.

“Dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, masyarakat tidak dapat beli keperluan untuk Ramadan, sambutan raya dan sebagainya, jadi usaha yang dilakukan pihak Masjid Kampung Baru ini merupakan usaha yang sangat baik dan murni.

“Saya harapkan semoga bantuan yang disalurkan ini dapat menyelesaikan isu berkaitan hidup orang Islam di Wilayah Persekutuan, dan mampu melakarkan senyuman mereka tatkala Aidilfitri yang bakal menjelma,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Sinar Kasih Ramadan itu.

Program berkenaan merupakan anjuran bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan pengurusan Masjid Jamek Kampung Baru.

Sementara itu, ditanya mengenai pembukaan semula masjid dan surau yang ditutup bagi membendung penularan COVID-19, beliau berkata ia masih di peringkat perbincangan dan akan dibawa ke mesyuarat Kabinet terlebih dahulu.

Pada 4 Mei lepas, Zulkifli berkata pembukaan semula masjid dan surau bagi aktiviti agama akan dilakukan sekiranya kerajaan berpuas hati dengan garis panduan ibadah di masjid dan surau yang telah disiapkan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama). – Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *