PUTRAJAYA 12 Mac – Gerakan Pembela Ummah (Ummah) yang mewakili lebih 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam membantah sekeras-kerasnya penggubalan Akta Keharmonian Nasional yang mengugat kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan.
Ketua Sekretariat Ummah, Aminuddin Yahaya berkata, pihaknya yang telah memperhalusi draf akta berkenaan dan mendapati ia mengandungi elemen-elemen yang menyamaratakan kedudukan Islam dengan agama-agama lain.
“Selain itu, kuasa yang diberikan kepada Suruhanjaya Keharmonian menerusi akta itu adalah terlalu besar sehingga mempunyai imuniti dan tidak boleh dikenakan tindakan mahupun disaman.
“Kuasa yang terlalu besar itu sehingga ia boleh menyentuh agama Islam yang hakikatnya di bawah kuasa negeri-negeri serta raja-raja Melayu,” katanya dalam sidang akhbar selepas pertemuan Ummah bersama NGO-NGO Islam di sini hari ini.
Ujar beliau, pihaknya telah meneliti draf berkenaan menerusi pertemuan dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dan difahamkan draf itu masih belum sampai ke peringkat Pejabat Peguam Negara.
“Kami juga menolak akta ini kerana ia tidak melibatkan NGO Islam sebagai pihak berkepentingan sebaliknya pihak tertentu yang ada pandangan berbeza,” katanya. – UTUSAN ONLINE
KOMEN