KUALA LUMPUR – Satu kajian mendapati 18,336 rakyat negara ini termasuk seawal usia 16 tahun dikesan mengalami pelbagai tahap kemurungan pada tahun lepas, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya.
Beliau berkata, jumlah itu berdasar kajian Kementerian Kesihatan melalui saringan minda sihat terhadap 273,203 orang yang dijalankan di klinik kesihatan dan komuniti pada 2017.
Katanya, daripada jumlah yang disaring itu, sebanyak 4.03 peratus atau 11,811 orang dikesan mengalami kemurungan tahap ringan, 1.26 peratus (3,680 orang) di tahap sederhana dan 0.62 peratus (1,682 orang) berada di tahap teruk.
“Selain itu, melalui saringan minda sihat yang dijalankan dengan Kementerian Pendidikan ke atas 253,196 pelajar tingkatan empat, sebanyak 0.45 peratus atau 1,163 pelajar mengalami masalah kemurungan,” katanya pada Persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Hilmi menjawab soalan Tan Kok Wai (DAP-Cheras) yang bertanyakan anggaran rakyat Malaysia yang menderitai berbagai tahap kemurungan (depression) termasuk sebab dan rawatan pemulihan yang dilakukan. – Bernama
KOMEN