Home » Langit Terbuka » Lebih 100 kanak-kanak GISBH masih ikuti modul pemulihan khas MAIS

Lebih 100 kanak-kanak GISBH masih ikuti modul pemulihan khas MAIS

Abdul Aziz melepaskan Konvoi Bantuan Banjir MAIS ke Kelantan, Terengganu dan Kedah hari ini. - Foto NSTP/Norzamira Che Noh

SHAH ALAM: Lebih 100 kanak-kanak GISB Holdings (GISBH) yang belum dituntut keluarga masih mengikuti modul pemulihan khas yang dilaksanakan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata kesemua kanak-kanak itu masih ditempatkan di rumah kebajikan seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di ibu negara.

Katanya, masih terdapat sebahagian daripada kanak-kanak itu belum dituntut keluarga dan dalam proses pengesahan identiti.

“Kita (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sehingga kini masih meneruskan modul pemulihan khas kepada kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal yang tidak berdaftar.

“Cara sembahyang (solat), bacaan, hukum dan sebagainya sebab selama ini mereka tidak dapat pendedahan itu. Untuk akademik biasa, itu tanggungjawab Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya kepada pemberita selepas melepaskan Konvoi Bantuan Banjir MAIS ke Kelantan, Terengganu dan Kedah di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan MAIS membangunkan modul khas itu dengan kerjasama JAIS dan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) sejak 1 Oktober lalu.

Seramai 20 guru al-Riqab turut terbabit mengajar di rumah kebajikan berkenaan bagi pemulihan akidah ke atas 261 kanak-kanak yang terlibat dalam isu GISBH.

Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz berkata, MAIS tampil menyumbang RM598,600 bagi menyantuni mangsa-mangsa yang terkesan akibat banjir di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Beliau berkata, sumbangan berkenaan meliputi peruntukan daripada Baitulmal MAIS, Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (JPSS); Lembaga Zakat Selangor (LZS); Perbadanan Wakaf Selangor (PWS); Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE); Bakti Suci Holdings Sdn Bhd (BSHSB) dan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS).

Katanya, turut menyumbang ialah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui Tabung Infak Jariah Umat Islam (TIJARI).

“Daripada jumlah RM598,600 itu, sumbangan diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) berjumlah RM84,200; Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berjumlah RM50,200 dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) RM44,200.

“Masing-masing menerima sumbangan wang tunai dan dalam bentuk makanan asas serta keperluan barangan yang diserahkan melalui masjid terpilih di negeri berkaitan untuk diagihkan kepada penduduk yang terkesan akibat banjir,” katanya.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *