Home » Langit Terbuka » Layan amah seperti ahli keluarga sendiri- MAMA

Layan amah seperti ahli keluarga sendiri- MAMA

Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA) menyaran semua majikan agar bersikap berperikemanusiaan dan melayani pembantu rumah asing yang digaji oleh mereka seperti ahli keluarga sendiri.

 

KUALA LUMPUR 15 Feb. -: Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA) menyaran semua majikan agar bersikap berperikemanusiaan dan melayani pembantu rumah asing yang digaji oleh mereka seperti ahli keluarga sendiri.

Presidennya, Engku Fauzi Engku Muhsein berkata, langkah itu penting bagi mewujudkan hubungan yang harmoni antara kedua-dua pihak dan sekali gus memastikan amah dapat melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya.

“Pertama, perlu ada pemantauan dari pihak yang berwajib dan keduanya majikan perlu mengambil pembantu rumah ini sebagai pekerja yang datang untuk mencari rezeki yang halal dan layanan mereka seperti ahli keluarga sendiri,” katanya semasa dihubungi Astro AWANI.

Katanya lagi, kes penderaan sehingga menyebabkan kematian seorang amah Indonesia baru-baru ini menjadi teladan kepada majikan untuk menjadi seorang yang bertanggungjawab dan dapat menguruskan pembantu rumah dengan baik.

“Bagaimanapun, kes ini tidak mewakili semua majikan di Malaysia sebab ia adalah kes terpencil memandangkan majikan ramai. Cuma kes seperti ini tidak kerap berlaku,” kata beliau.

Justeru, beliau mencadangkan satu perjanjian dibuat antara majikan dan amah bagi mengekang kes sama daripada berulang.

“Kes ini di mana yang mustahak sekali perlu ada perjanjian antara amah dan majikan supaya masing-masing tahu tugasan dan tanggungjawab supaya kalau ada apa-apa berlaku, boleh dibawa ke muka pengadilan,” tambahnya.

Perjanjian berkenaan akan menyatakan dengan jelas mengenai hak dan tanggungjawab majikan dan pembantu rumah asing.

“Jadi, kalau ada apa-apa perlanggaran perjanjian boleh dibawa ke muka pengadilan,” ujarnya.

Sabtu lepas, seorang amah Indonesia berjaya diselamatkan polis selepas didakwa didera majikannya.

Mangsa bagaimanapun meninggal dunia sehari kemudian ketika menerima rawatan di hospital.

Wanita itu ditemukan sedang duduk di kawasan luar pagar rumah majikannya oleh wartawan sebelum memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.

Mangsa juga dipercayai dipaksa majikannya tidur di luar rumah hanya beralaskan tikar dan ditemani anjing. – ASTRO AWANI

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *