Home » Langit Terbuka » Latih skuad jejak asnaf, cari pesakit

Latih skuad jejak asnaf, cari pesakit

Dr. Nor Fariza Ngah memberi penerangan mengenai operasi Pusat Pembedahan Katarak MAIWP-Hospital Selayang (PPKMS). Foto : Utusan

Pusat Pembedahan Katarak MAIWP-Hospital Selayang (PPKMS) berada dalam kelasnya yang tersendiri, iaitu mampu memberikan perkhidmatan terbaik dan berkualiti pada kadar paling minimum.

Bagaimanapun Ketua Perkhidmatan Oftalmologi Kementerian Kesihatan, Dr. Nor Fariza Ngah berkata, tetapi masih ramai yang tidak mengetahui kewujudannya dan promosi giat sedang dijalankan untuk mempopularkannya.

Antara usaha promosi itu, kata beliau adalah dengan melatih kakitangan Skuad Jejak Asnaf MAIWP untuk mengenal pasti asnaf yang ditemui sama ada mempunyai masalah katarak.

Beliau menyifatkan usaha itu sesuai dengan peranan skuad tersebut yang berusaha mengesan atau mengenal pasti mana-mana anggota komuniti setempat yang layak menerima bantuan zakat.

“Usaha itu juga akan diperluas kepada pemimpin masyarakat setempat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau sesiapa yang berminat menyumbang tenaga secara sukarela,” katanya.

Tanda-tanda asas

Namun, Nor Fariza menolak tanggapan bahawa latihan mengenal pasti potensi penyakit katarak itu agak rumit kerana fokus utamanya hanya sekadar memperkenal tanda-tanda asas seseorang mempunyai simptom penyakit berkenaan.

Dalam masa sama, beliau berkata, ia boleh menjadi antara platform utama untuk memperkenal kemudahan yang ditawarkan oleh PPKMS.

“Setakat tahun lalu, seramai 15 kakitangan kesihatan dan 28 ahli NGO dilatih dalam program berkenaan dan tahun ini, kami mahu perluaskan kepada kakitangan Skuad Jejak Asnaf MAIWP,” katanya.

Sementara itu, Paimuzi Yahya menyambut baik usaha tersebut dan akan memanjangkannya kepada jabatan berkenaan agar tindakan segera dapat dilakukan.

“Apa yang penting adalah satu kerugian besar jika mana-mana asnaf bawah MAIWP tidak menggunakan sepenuhnya kemudahan yang disediakan untuk mereka,” katanya.

INFO

National Eye Survey (NES) 2014 oleh Kementerian Kesihatan mendapati kira-kira 43,000 rakyat Malaysia menghadapi masalah kurang penglihatan disebabkan oleh katarak.

NES turut menyatakan katarak antara penyebab utama (58 peratus) kepada kebutaan di Malaysia.

Katarak ialah kekeruhan pada kanta mata yang asalnya jernih dan menyebabkan penglihatan menjadi kabur.

Golongan berpotensi selalunya dikaitkan dengan faktor umur yang semakin meningkat.

Ia juga boleh disebabkan oleh diabetes, terdedah kepada matahari secara berlebihan, merokok, penggu­naan ubat steroid secara berpanjangan, kecederaan atau kongenital (dari lahir).

Gejala katarak berlaku apabila pesakit mengadu penglihatan semakin kabur, sukar melihat imej kecil, kerap menukar cermin mata, imej kelihatan bertindih, perubahan pada warna dan silau apabila terdedah cahaya terang.

Rawatannya hanya melalui pembedahan secara surgeri mikro oleh pakar bedah mata dengan penggunaan mesin ultrasound phacoemulsification. Kanta yang keruh itu akan dibuang dan diganti dengan kanta tiruan.

Kebiasaannya pembedahan dilakukan secara pembedahan harian, bius setempat dan hanya meng­ambil masa 15 hingga 30 minit.

REAKSI KOMUNITI

Usaha promosi MAIWP dan PPKMS amat perlu memandangkan kos rawatan mahal di hospital swasta dan juga tempoh untuk melakukan pembedahan agak lama di hospital awam lain.

Ini kerana, rata-rata pesakit pusat itu yang ditemui menyifatkan kedua-dua aspek tersebut penting bukan hanya kepada golongan berpendapatan sederhana ke bawah tetapi juga yang memerlukan rawatan segera.

Seorang pesakit, Muhammad Islah Sulaiman menghargai inisiatif berkenaan kerana sudah pasti sukar bagi pesakit katarak, khususnya yang memerlukan rawatan segera untuk memperoleh tarikh pembedahan dalam tempoh singkat di hospital awam.

Beliau tidak menyalahkan pihak hospital awam kerana jumlah pesakit dalam senarai menunggu ramai tetapi dengan adanya PPKMS tersebut, ia menjadi satu alternatif terbaik.

“Ia satu inisiatif untuk mempercepat proses pembedahan kerana kalau tunggu, penyakit katarak akan jadi semakin teruk dan lama-lama boleh jadi buta,” katanya.

Seorang lagi pesakit, N. Thurchinamurthy berkata: “Memang saya puas hati kerana kalau di luar (hospital swasta) kena bayar lebih kurang RM3,000 tetapi dengan PPKMS, bayaran tidak lebih RM1,000.” – UTUSAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *