KUALA LUMPUR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Wilayah Persekutuan menyokong sepenuhnya pelaksanaan larangan merokok di kedai makan sama ada berhawa dingin mahupun terbuka yang dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2019.
Timbalan Pengerusinya, Mohd Faizan Alias berkata, langkah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertepatan dengan lima terasnya sebagai satu pendidikan kepada masyarakat.
“GPMSWP melihat larangan merokok itu sebagai langkah terbaik untuk melindungi masyarakat daripada terdedah kepada ancaman asap rokok khususnya apabila berada di tempat awam seperti restoran dan kedai makan.
“Kami tidak melihat langkah itu cuba menyekat kebebasan merokok, sebaliknya mendidik mereka agar menghormati ruang privasi orang lain yang tidak merokok.
“Malah perokok juga dididik supaya memastikan jarak yang selamat sebelum menghisap rokok secara terbuka,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Bermula 1 Januari 2019, semua tempat makan sama ada berhawa dingin atau tidak, adalah diwartakan sebagai tempat dilarang merokok.
Larangan itu adalah mengikut pindaan pewartaan tempat makan di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004), bertujuan melindungi orang awam terutama golongan bukan perokok daripada terdedah kepada bahaya asap rokok.
Di bawah Peraturan 11 PPKHT 2004, mana-mana individu yang melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.
Manakala di bawah Peraturan 12, semua pemilik, pengusaha atau tuan punya permis atau kenderaan yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok yang jelas boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.
Bagi kesalahan gagal memastikan tiada orang merokok dan menyediakan kemudahan untuk merokok boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 5,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun.
Mohd Faizan berkata, penguatkuasaan baharu itu juga dapat melindungi anak muda dan generasi muda daripada terdedah kepada pelbagai risiko penyakit akibat asap rokok yang boleh merugikan negara.
“Saban tahun kerajaan terpaksa berbelanja berjuta ringgit untuk menyediakan perbelanjaan rawatan dan ubat-ubatan akibat penyakit kronik yang dibawa oleh asap rokok ini.
“Kita tidak mahu kehilangan generasi pelapis negara hanya kerana asap rokok ini dan secara tidak langsung ia menggalakkan budaya hidup sihat,” katanya.
Katanya lagi, GPMSWP sedia bekerjasama dengan kerajaan dalam memastikan larangan merokok di tempat makan itu mencapai matlamatnya.
“Kita sedia bekerjasama dengan pihak KKM untuk memberi kesedaran dan pendidikan kepada anak muda khususnya di sekolah dan institusi pengajian tinggi tentang bahayanya budaya merokok di tempat awam.
“Kita juga boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa KKM dalam membuat pemantauan di premis-premis makana agar kekal bebas daripada asap rokok,” katanya. – MalaysiaGazette
KOMEN