Lapan daie YADIM dilantik
KOTA KINABALU 6 Nov. – Seramai lapan orang dilantik sebagai daie oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bagi melaksanakan tugas membantu golongan saudara kita mendalami ajaran ahama Islam di beberapa kawasan di negeri Sabah.
Pengurus YADIM Zon Sarawak, Samin Ongki berkata, para daie berkenaan akan ditempatkan di Sabah iaitu di Pulau Banggi, Membakut, Ranau, Paitan, Pinangah Tongol, Tenom, Sook, Tamparuli dan Pagalungan.
“Peranan para daie ini adalah penting terutama dalam memberi bimbingan kepada golongan saudara kita dalam mendalami ajaran agama Islam agar pengetahuan mereka terus mantap dari semasa ke semasa,’’ katanya.
Beliau berkata, jawatan daie atau  pegawai dakwah telah mula diperkenalkan di Sabah sejak tahun 2015 di bawah program  Jawatankuasa Majlis Tindakan Dakwah NGO-YADIM Peringkat negeri Sabah.
Katanya, secara ringkasnya peranan para daie berkenaan adalah untuk memberi bimbingan kepada golongan saudara kita di kawasan-kawasan yang ditentukan serta membantu golongan berkenaan dari segi meningkatkan taraf kehidupan.
“Antara tugas yang dilaksanakan termasuk mengadakan kelas dan mengajar ilmu asas Fardhu Ain, Fardhu Kifayah serta kaunseling keagamaan kepada saudara kita.
“Mereka juga berperanan melaksanakan program bagi mengimarahkan surau atau masjid dengan menghidupkan solat berjemaah di kawasan penempatan saudara kita serta menggerakkan dan membangunkan masyarakat dengan mengadakan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan,’’ katanya.
Beliau berkata, daerah-daerah yang terpilih untuk penempatan daie YADIM merupakan lokasi dan kawasan yang disasarkan sebagai tempat yang memerlukan khidmat dakwah Islam yang tinggi secara berterusan.
Katanya, program yang dilaksakan itu bukan sekadar tertumpu kepada golongan saudara kita tetapi juga masyarakat sekeliling yang masih kurang jelas terhadap pengamalan agama Islam yang sempurna.
KOMEN