Home » Langit Terbuka » Lagi premis GISBH diserbu, polis rampas bahan bacaan, selamat kanak-kanak

Lagi premis GISBH diserbu, polis rampas bahan bacaan, selamat kanak-kanak

Mohd Fared bercakap kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Pra Tahfiz Peringkat Kemas Negeri Johor 2024 di Hotel Prime City, Kluang, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

KLUANG: Kerajaan negeri mengesahkan penemuan beberapa bahan bacaan dipercayai ada kaitan dengan Aurad Muhammadiyah dalam serbuan di premis GlSB Holdings (GISBH) di beberapa daerah di negeri ini.

Pengerusi Hal Ehwal Agama Johor, Mohd Fared Khalid, berkata serbuan dilakukan menerusi Ops Bersepadu bersama polis dan turut disertai Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), bahagian penguatkuasaan di lima daerah bermula dua hari sehingga semalam turut menyelamatkan kanak-kanak di premis itu.

Katanya, daerah yang terlibat adalah Kluang, Mersing, Segamat, Kota Tinggi dan Johor Bahru dengan penemuan bahan bacaan terlarang ataupun bacaan baharu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Aurad Muhammadiyah yang difatwakan sesat.

Bagaimanapun, katanya, siasatan terperinci masih dijalankan dan JAINJ akan mengambil tindakan lanjut dari segi pendakwaan sekiranya wujud elemen itu mengikut Enakmen Syariah Negeri Johor.

“Kita perlu mengambil sedikit masa kerana sebahagian buku yang dirampas itu adalah bahan baru, jadi kita tidak tahu sama ada ia berkaitan dengan Aurad Muhammadiyah yang difatwakan haram.

“Tindakan perlu dilakukan berhati-hati berbanding secara serta-merta ataupun kelam kabut dan akhirnya tidak membuahkan hasil.

“Jadi, satu proses mahkamah memerlukan tindakan yang sangat teliti. Bagi maksud kebajikan anak-anak yang diselamatkan dalam operasi itu, JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) sudah mengambil tanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Program Pra Tahfiz Peringkat Kemas Johor yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Dalam pada itu, Mohd Fared berkata, JAINJ sudahpun mengunjungi semua lokasi utama yang dikenal pasti untuk membuat pemeriksaan.

Katanya, dalam pemeriksaan itu, terdapat premis sudah dikosongkan serta ada yang masih berpenghuni.

“Ada premis yang masih lagi menempatkan golongan warga emas, dewasa dan kanak-kanak. Sebagai contoh premis di Mutiara Rini, Johor Bahru yang juga ada penemuan bahan namun penghuni sudah tiada.

“Jadi, kita akan bekerjasama dengan polis untuk menjejaki mereka.” katanya.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *