PENINGKATAN kesedaran terhadap keselamatan kebakaran membabitkan pusat tahfiz berjaya melahirkan 21 lagi skuad bomba tahfiz di Klang.
Skuad bomba tahfiz yang ditubuhkan itu bertujuan melaksanakan langkah awal mengatasi kebakaran dan mereka dilatih selama 15 hari oleh anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang, Klang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang Zaidi Ahtan berkata, sehingga kini, 21 pusat tahfiz membabitkan 315 ahli di sekitar Sungai Pinang sudah menjalani modul latihan yang ditetapkan.
“Modul yang mengandungi 10 bab menyentuh pengetahuan asas antaranya pengenalan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), punca api, langkah pencegahan awal bagi mengelak kematian dan kerugian serta pelbagai lagi.
“Selain itu, tips serta arahan keselamatan mengikut kesesuaian pusat tahfiz selepas pemeriksaan dibuat turut diberikan bagi meningkatkan lagi kesedaran dalam kalangan tenaga pengajar serta pelajar tahfiz,” katanya.
Dalam pada itu, Zaidi berkata, pihaknya mengakui terdapat premis dijadikan pusat tahfiz yang tidak mendapat kelulusan namun pihaknya memberi lebih penekanan kepada misi meningkatkan kesedaran mengatasi kebakaran.
Sehubungan itu katanya, dengan menjadikan 21 skuad bomba tahfiz berkenaan sebagai anak angkat BBP Sungai Pinang, ia satu tindakan baik bagi membolehkan ilmu berkenaan keselamatan dipertingkatkan secara berterusan.
Menurutnya, beliau bangga apabila berjaya melatih pusat tahfiz berkenaan yang sentiasa menunjukkan semangat serta memberi kerjasama baik.
Sementara itu, Ketua Cawangan Keselamatan dan Kesedaran Awam Zon Klang, Muhamad Hissam Sidik berkata, penubuhan skuad bomba tahfiz itu mensasarkan lima institusi iaitu sekolah pondok, pusat tahfiz, sekolah agama rakyat, pusat jagaan anak yatim dan pusat jagaan orang tua.
Katanya, tahun lalu, sebanyak 248 pusat tahfiz yang beroperasi dikenal pasti di Selangor membabitkan 10,691 pelajar lelaki dan 5,597 pelajar perempuan bawah 15 tahun. Beliau berkata, daripada jumlah berkenaan, hanya 65 bangunan atau premis dijadikan pusat tahfiz mendapat kelulusan selebihnya tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa.
“Tahun lalu, 280 pemeriksaan keselamatan dibuat terhadap 248 pusat tahfiz berkenaan. “Tahun lalu juga, sebanyak 21 skuad bomba ditubuhkan dan menjadikan jumlah terkini sebanyak 42 pasukan yang terdiri daripada 877 orang ahli.
“Kami mensasarkan semua pusat tahfiz di negeri ini memiliki skuad bomba masing-masing akhir tahun ini,” katanya. – HARIAN METRO
KOMEN