KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 6.15% untuk simpanan konvensional 2018, dengan agihan dividen sebanyak RM43 bilion; dan 5.9% untuk simpanan syariah, dengan agihan dividen RM4.32 bilion.
Jumlah keseluruhan agihan dividen adalah sebanyak RM47.31 bilion, turun 1.70% berbanding pada 2017.
“Dengan purata kadar dividen sebenar bagi 3 tahun berturut-turut sebanyak 3.93% melebihi kadar inflasi untuk simpanan konvensional dan 3.68% untuk simpanan syariah, KWSP menjangkaui mandatnya untuk mengisytiharkan 2.5% dividen setiap tahun dan tidak kurang dari 2% bagi dividen sebenar untuk purata 3 tahun,” kata KWSP dalam kenyataannya.
“Kami amat bersyukur dan sukacita kerana berjaya memenuhi 2 sasaran pelaburan strategik kami secara konsisten. Selain dividen nominal, adalah menjadi keutamaan kami untuk memberikan pulangan melebihi kadar inflasi secara konsisten agar kami dapat mengekalkan dan meningkatkan nilai simpanan ahli dalam jangka panjang serta membantu mereka mencapai masa depan persaraan yang lebih baik,” kata Pengerusinya Tan Sri Samsudin Osman.
Ini, katanya masih dapat direalisasikan meskipun 2018 merupakan tahun yang sukar dan didominasi oleh ketidaktentuan dan trend penurunan pasaran global yang dicetus oleh perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China serta 4 kitaran kenaikan kadar faedah AS dalam satu tahun yang sama.
“Bagaimanapun, kami tetap fokus kepada strategi jangka panjang dan kepelbagaian portfolio yang memberikan daya tahan dan pulangan yang memberangsangkan kepada ahli kami,” katanya.
Pendapatan pelaburan kasar untuk 2018 adalah sebanyak RM50.88 bilion, di mana RM4.62 bilion dijana bagi simpanan syariah, berkadar dengan bahagiannya daripada keseluruhan jumlah aset syariah; manakala RM46.26 bilion dijana bagi simpanan konvensional.
Penurunan pendapatan portfolio syariah KWSP pada 2018 adalah disebabkan oleh prestasi kurang memberangsangkan untuk sektor telekomunikasi, pembinaan dan minyak dan gas dalam portfolio domestik.
Pengagihan dividen untuk setiap akaun diperolehi daripada jumlah pendapatan nyata untuk 2018 selepas ditolak rosot nilai bersih ke atas aset kewangan, keuntungan ataukerugian tidak nyata daripada transaksi antara subsidiari/syarikat bersekutu, perbelanjaan pelaburan dan operasi, caj berkanun serta dividen atas pengeluaran.
Jumlah yang perlu diagihkan untuk setiap 1% kadar dividen 2018 adalah RM7.72 bilion, lebih tinggi berbanding RM7.02 bilion pada 2017.
Selaras dengan pelaksanaan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia 9 (MFRS 9) yang berkuat kuasa 1 Jan 2018, keuntungan modal atas pelupusan ekuiti berjumlah RM18.21 bilion untuk 2018 akan disalurkan kepada keuntungan terkumpul daripada Penyata Pendapatan Komprehensif Lain dan bukan kepada Penyata Untung Rugi seperti amalan MFRS 139 sebelumnya.
Tambahan lagi, di bawah MFRS9, KWSP tidak lagi akan mengiktiraf sebarang rosot nilai ke atas pegangan ekuiti tersenarainya, katanya. – FreeMalaysiaToday
KOMEN