KUALA LUMPUR 8 Ogos – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menimbangkan peningkatan Simpanan Syariah antara RM20 bilion dan RM30 bilion setahun daripada dana RM100 bilion yang diperuntukkan tahun depan, bergantung kestabilan modal dan prestasi aset dilaburkan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, pada waktu ini terdapat faktor yang mengehadkan peruntukan dana untuk konsep syariah, iaitu terhad kepada aset sedia ada untuk dijadikan pelaburan.
“Sehubungan itu, kita gunakan RM100 bilion ini terlebih dahulu dan kita akan tambah lagi sehingga mencapai aset-aset baharu untuk dilaburkan mengikut konsep patuh syariah.
“Berdasarkan perkembangan semasa, kita boleh jangkakan pertumbuhan RM20 bilion sehingga RM30 bilion setahun,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program pendaftaran Simpanan Syariah KWSP di Ibu pejabat KWSP, Jalan Raja Laut di sini hari ini.
Pendaftaran dibuka pada pukul 7.45 pagi ini dan dalam tempoh 30 minit seramai 5,000 pencarum di seluruh negara sudah menukar simpanan KWSP konvensional mereka kepada Simpanan Syariah.
Dana sebanyak RM100 bilion iaitu kira-kira 15 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP berjumlah RM681.71 bilion sehingga akhir Mac lalu diperuntukkan untuk simpanan tersebut bagi 2017 berdasarkan ‘siapa cepat dia dapat’.
Untuk melayakkan diri mendaftar dengan Simpanan Syariah, pencarum perlu mengemukakan permohonan sebelum 23 Disember ini, selain tertakluk kepada dana RM100 bilion masih ada.
Ditanya mengapa KWSP tidak melaksanakan penukaran simpanan itu melalui majikan, Shahril Ridza menjelaskan, majikan tidak mempunyai kemudahan untuk berbuat demikian.
Sementara itu, menurut beliau, dasar membenarkan pencarum membuat pelaburan KWSP menerusi dana-dana unit amanah luar negara sehingga 100 peratus sejak 1 Ogos lalu bertujuan mempelbagaikan pegangan aset para pencarum di negara ini.
Beliau berkata, sebelum ini, pelaburan dalam dana-dana unit amanah di luar negara yang dibenarkan tidak melebihi 30 peratus.
Kata Shahril Ridza, dasar terbaharu itu ditetapkan setelah pihaknya percaya para pencarum KWSP mempunyai lebih banyak pilihan untuk menguruskan pelaburan mereka.
Menurutnya, KWSP sendiri telah bekerjasama dengan Persekutuan Pengurus-Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM) bagi memastikan pelaburan dalam dana unit amanah, terjamin dari segi prestasinya.
“Dahulu, peluang pelaburan maksimum di luar negara menerusi unit amanah hanya tidak melebihi 30 peratus dan kini dibuka sehingga 100 peratus,” katanya.
Namun, jelas Shahril Ridza, tidak semua dana luar negara akan mendapat kelulusan kerana terdapat kriteria tertentu yang akan dipertimbangkan oleh KWSP termasuk prestasi dana itu sendiri.
-www.utusan.com.my
KOMEN