SHAH ALAM: Waris yang kurang pengetahuan mengenai isu wakaf, menyebabkan ada dalam kalangan mereka tampil menuntut kembali harta yang sudah diwakafkan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Anuar Hamzah Tohar, berkata dalam kebanyakan kes, waris terbabit memberi alasan proses wakaf yang berlaku tidak mempunyai saksi.
“Alasan mereka, (proses wakaf) tiada saksi. Malah, ada dalam kalangan mereka, bila pewakaf sudah meninggal dunia, warisnya datang menuntut kembali harta itu.
“Mereka perlu faham hukum, bila pewakaf sudah berniat mewakafkan hartanya dan mempunyai saksi ketika itu, secara langsung ia menjadi wakaf. Ia adalah amanah si mati.
“Namun, ada yang gagal memahaminya. Apabila seseorang itu mewakafkan hartanya, ia sudah hak milik Allah. Pewakaf itu sendiri mahu memberikan manfaatnya kepada jalan Allah,” katanya.
Anuar berkata, masalah juga timbul apabila pewakaf hanya memberitahu mahu mewakafkan, namun tidak membuat urusan dokumentasi berkenaan urusan wakaf terbabit.
“Justeru itu, di Selangor, amat penting apabila seseorang itu mahu mewakafkan hartanya terus datang kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) atau PWS, kerana sudut hukum ia mesti dipegang dan dijalankan pemegang amanah iaitu MAIS, manakala PWS hanya menjalankan urusan pendaftaran.
“Di negeri lain, orang ramai boleh merujuk kepada majlis agama negeri masing-masing. Ini penting supaya tidak timbul masalah di kemudian hari,” katanya.
Anuar Hamzah berkata, nilai pasaran tanah wakaf di Selangor ketika ini dianggarkan berjumlah kira-kira RM500 juta.
Rabu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan meminta umat Islam yang ingin mewakafkan hartanah masing-masing, melakukan dokumentasi supaya tidak mencetuskan perkara berbangkit pada masa depan.
Ia berikutan banyak tanah wakaf bernilai berbilion ringgit, tidak dapat dibangunkan berikutan berlaku tuntutan daripada waris pewakaf ekoran tiada dokumentasi.
Ahmad Zahid dilaporkan berkata, ketika beliau menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan menjaga hal ehwal Islam, nilai pasaran tanah wakaf di negara ini pada tahun 2009 adalah RM9 bilion dan sekarang meningkat lebih 30 hingga 50 peratus. – BERITA HARIAN
KOMEN