SEPANG – Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia seramai 298 orang tiba di tanah air semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini melalui penerbangan Saudia Airlines SV 5612.
Ketibaan mereka pada pukul 9.05 pagi dari Jeddah, Arab Saudi disambut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary dan Pengerusi Tabung Haji (TH) Tan Sri Azman Mokhtar.
Ahmad Marzuk ketika ditemui pemberita berkata 49 penerbangan menerusi Malaysia Airlines (MH) dan Saudia Airlines disediakan bagi membawa kesemua 14,305 jemaah haji pulang ke tanah air bermula semalam hingga 13 Ogos ini.
“Jemaah haji akan balik secara berperingkat dan mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh TH… syukur operasi haji pada tahun ini berjalan dengan lancar.
“Semua jemaah haji dapat melaksanakan ibadat dengan selamat, selesa dan teratur meskipun cuaca agak panas sehingga mencecah hampir 50 darjah celcius” katanya.
Ahmad Marzuk berkata 32 jemaah haji Malaysia sedang menerima rawatan di hospital di Makkah kerana mengalami strok haba.
“Alhamdulilah, semua jemaah haji yang menerima rawatan dilaporkan stabil… kita nasihatkan baki jemaah haji yang masih berada di Makkah untuk menjaga tahap kesihatan masing-masing,” katanya.
Sementara itu Azman merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi haji kali ini terutama sekali Kedutaan Besar Diraja Arab Saudi di Malaysia.
“TH amat berterima kasih kepada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Muassasah Asia Tenggara serta semua agensi yang terlibat di dalam operasi haji di tanah air dan di tanah suci,” katanya.–AlHijrah Online
KOMEN