DAMSYIK, 5 Rejab 1439H, Jumaat – Salah satu kumpulan pemberontak Syria yang masih tinggal di daerah Ghouta Timur, di luar Damsyik, telah mengumumkan gencatan senjata.
Kumpulan Faylaq al-Rahman berkata, gencatan senjata itu akan bermula di bahagian selatan kawasan sekitar tengah malam waktu tempatan.
Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, pengumuman itu dibuat selepas serangan udara yang menyasarkan selatan Ghouta yang dikuasai kumpulan pemberontak itu yang menyebabkan sekurang-kurangnya 38 orang terbunuh.
“Perjanjian gencatan senjata dicapai melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” kata kumpulan itu, yang menguasai bahagian selatan di sekitar Arbin dan Zamalka.
Sementara itu, Jurucakap, Wael Alwan berkata, langkah itu akan memudahkan perbincangan dengan tentera Russia, sekutu Syria, bagi mencari penyelesaian untuk menjamin keselamatan orang awam.
Pemberontak di bahagian lain juga mencapai kesepakatan yang sama sebelum ini.
Bagaimanapun, buat masa ini, belum ada komen daripada tentera Russia, kerajaan Syria atau PBB.
Kumpulan pemerhati berkata, serangan udara dan darat di kawasan itu telah menyebabkan 1,500 orang awam maut, manakala 5,300 yang lain cedera, dan memaksa 82,000 melarikan diri dalam beberapa hari kebelakangan ini. – Agensi
KOMEN