Home » Langit Terbuka » Kriteria dan modus operandi ajaran sesat perlu disebarluas elak masyarakat terjebak – Mohd Na’im

Kriteria dan modus operandi ajaran sesat perlu disebarluas elak masyarakat terjebak – Mohd Na’im

Dr Mohd Na’im menyampaikan ucapan sambil diperhatikan Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia, Profesor Dr Ali Muhyiddin Ali Qaradaghi ketika majlis perasmian Konvensyen Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Peringkat Wilayah Persekutuan 2024 di Dewan Syarahan Masjid Negara, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Kuala Lumpur: Tindakan pihak tertentu yang secara terbuka mengajarkan ajaran yang sesat dan menyeleweng dari akidah Ahli Sunnah wal Jamaah melalui media sosial boleh mengancam kesejahteraan dan kestabilan akidah umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia boleh menimbulkan ketidakharmonian serta mengganggu ketenteraman masyarakat awam secara keseluruhannya dalam negara ini.

Sehubungan itu, neliau berkata, menjadi tanggungjawab dan peranan pihak berwajib merangka, menyusun dan melaksana program dan aktiviti yang boleh menyuburkan lagi pengukuhan akidah umat Islam selaras akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.

“Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah sewajibnya dijiwai dan dipahat kukuh dalam sanubari segenap lapisan masyarakat khususnya generasi muda supaya mampu menjadi generasi yang rabbani.

“Amat mustahak kepada agensi hal ehwal Islam untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak lain untuk memperkukuh kekuatan dan strategi.

“Ini bagi memastikan kita dapat menangkis dan mematahkan serangan dan dakyah untuk menghancurkan kekuatan akidah umat Islam.

“Undang-undang yang berkaitan ancaman ke atas akidah umat Islam harus diperkasakan dan aspek penguatkuasaan perlu dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Konvensyen Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Peringkat Wilayah Persekutuan bertemakan ‘Merungkai Rahsia Di Sebalik Fenomena Akhir Zaman’, di Masjid Negara, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia, Profesor Dr Ali Muhyiddin Ali Qaradaghi yang turut memberikan ucaptama.

Mohd Na’im berkata, perkara berkaitan pembanterasan ajaran sesat dan menyeleweng juga adalah sebahagian titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan.

“Baginda bertitah, agensi kerajaan digesa meningkatkan penguatkuasaan terhadap kandungan ajaran sesat serta menyediakan satu pusat rujukan agama untuk menyebarkan ilmu dan maklumat yang tepat.

“Titah ini perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan seluruh pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri.

“Pada masa sama, masyarakat juga perlu didedahkan dengan kewujudan fatwa berkaitan ajaran salah yang telah diwartakan,” katanya.

Beliau berkata, kriteria dan modus operandi ajaran sesat perlu disebarkan untuk maklumat awam supaya masyarakat dapat mengenalpasti dan mengelakkan diri daripada terjebak dengan ajaran yang menyeleweng selain melindungi keutuhan akidah serta keharmonian sosial.

“Ini semua adalah bagi memastikan sebarang cubaan untuk mengganggu gugat akidah umat Islam dapat dikekang dan dipatahkan.

“Jadikanlah apa yang kita perjuangkan hari ini sebagai jihad fisabillah untuk mempertahankan kesucian akidah Islam dan semoga menjadi jariah serta kebaikan setelah ketiadaan kita kelak,” katanya.

Artikel Berkaitan

JHEAIK pantau pergerakan GISBH di Kedah

Alor Setar: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) sentiasa memantau pergerakan syarikat Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) yang beroperasi

Roti jenama Ikhwan tiada sijil halal – JAKIM

KUALA LUMPUR: Produk roti jenama Ikhwan keluaran Global Ikhwan Utara disahkan tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *