JEDDAH 25 Mei – Krisis pelarian penduduk Islam Rohingya akan menjadi agenda utama pada persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi mencari penyelesaian politik dan aspek kemanusiaan dalam usaha mengakhiri krisis orang hanyut di Laut Andaman dan Selat Melaka.
Pada mesyuarat Majlis Menteri-menteri Luar OIC yang dijadual berlangsung di Kuwait pada Rabu ini, pertubuhan Islam tersebut akan membincangkan tentang penubuhan satu pelan tindakan kerjasama khas untuk diluluskan sebagai penyelesaian terhadap krisis di Asia Tenggara itu.
Menurut laporan portal Khaleej Times, Setiausaha Agung OIC, Iyad Ameen Madani telah bertemu dengan beberapa menteri luar di rantau berkenaan untuk menilai kaedah tertentu bagi membantu etnik Islam Rohingya yang tertindas di Myanmar dan terpaksa hidup sebagai pelarian.
Beliau turut mengarahkan pejabat OIC di Geneva dan New York untuk menyelaras secara aktif dengan agensi dan pertubuhan antarabangsa bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada golongan sasaran melalui penilaian latar belakang atau status mangsa.
OIC juga membuat hubungan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam misi kemanusiaan bagi mewujudkan pelan tindakan komprehensif untuk mengetengahkan krisis pelarian Rohingya.
Malah pertubuhan Islam itu dilapor bersedia melancarkan kempen kesedaran media dan mengutip dana dalam kalangan negara-negara anggota.
OIC dalam kenyataannya secara tegas menyatakan bahawa punca utama krisis itu adalah disebabkan situasi meruncing yang dihadapi oleh etnik Rohingya akibat penindasan dan diskriminasi yang berlaku di Myanmar.
“Situasi kehidupan yang sukar menyebabkan etnik Rohingya dan pendatang asing dari negara lain menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia.
“Bagi menyelesaikan kemelut ini, masyarakat antarabangsa perlu mengenakan tekanan terhadap kerajaan Myanmar untuk menghentikan pelanggaran hak ke atas penduduk Rohingya dan mengiktiraf mereka sebagai rakyat Myanmar yang sah, selain membenarkan kesemua pelarian terbabit pulang ke rumah masing-masing,” jelas kenyataan itu.
Selain menyelesaikan krisis kemanusiaan yang dihadapi penduduk Rohingya, OIC akan bekerjasama dengan masyarakat dunia untuk memulihkan status, hak dan maruah etnik tersebut serta mengembalikan kebebasan beragama, mendapatkan kerakyatan penuh dan peluang yang sama adil.
Sumber daripada www.utusan.com.my
KOMEN