PUTRAJAYA – Semua Majlis Agama Negeri disaran agar membatalkan Ujian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) selaras dengan keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membatalkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, kementeriannya telah berbincang dengan kesemua Majlis Agama Negeri mengenai pembatalan peperiksaan itu, mengambil kira keselamatan murid.
“Saya sudah berbincang dengan semua Majlis Agama Negeri berkaitan ujian Kafa dan sebagainya, kita tekankan bahawa negeri-negeri secara umumnya mengambil langkah yang sama.
“Apa yang penting adalah keselamatan anak-anak, mereka masih kecil dan tempoh pengajian masih jauh lagi,” katanya.
Mohd Radzi berkata jumlah pelajar UPSR tahun ini iaitu lebih 450,000 orang disifatkan satu jumlah yang besar dan berisiko tinggi dijangkiti koronavirus (Covid-19).
Susulan itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagi menyampaikan saranan itu agar selaras dengan keputusan KPM.
Mengulas mengenai kelas pra-sekolah di bawah KPM, Mohd Radzi berkata, ia juga perlu ditangguhkan sehingga keselamatan murid-murid terjamin.
“Fokus kita adalah kepada murid yang mudah dikawal oleh guru. Cabaran utama yang di Tadika adalah untuk melakukan penjarakan sosial (dalam kalangan murid-murid Tadika).
“Apabila sekolah dibuka (selepas PKP) yang pergi ke sekolah dahulu adalah tingkatan lima dan enam,” katanya.-Bernama
KOMEN