KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah merayu orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dan tidak keluar rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
Beliau berkata, rakyat perlu membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan memainkan peranan masing-masing bagi mengelak negara terjerumus ke dalam gelombang ketiga penularan COVID-19.
“Saya merayu kepada semua rakyat Malaysia, sila ambil perintah kawalan pergerakan ini secara serius. Duduk di rumah dan jangan keluar.
“Kita mempunyai peluang yang tipis untuk memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19. Bantulah KKM dengan memainkan peranan anda, kerana setiap individu bertanggungjawab untuk mengambil segala langkah, berjaga-jaga demi keselamatan diri dan keluarga.
“Kegagalan bukan pilihan di sini. Jika tidak, kita mungkin menghadapi gelombang ketiga virus ini, yang seterusnya akan menjadi lebih besar seperti tsunami, lebih-lebih lagi, jika kita mempunyai sikap “tidak kisah,” katanya menerusi status di akaun Facebook rasminya.
Hari ini (18 Mac), Perintah Kawalan Pergerakan dikuat kuasa sepenuhnya selepas pengumuman pelaksanaannya oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibuat Isnin lalu.
Perintah itu antara lain menetapkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara dengan semua rumah ibadat dan premis perniagaan ditutup kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.
Selain itu, perintah itu juga membabitkan penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terbabit dengan perkhidmatan penting negara.
Bagaimanapun, sikap panik berhadapan dengan situasi tidak diduga ini masih jelas dilihat pada orang ramai, yang masih belum memahami mengenai perintah berkenaan sehingga berlakunya beberapa masalah seperti pembelian panik serta kesesakan yang serius di balai polis berikutan orang ramai mahu mendapat permit pergerakan rentas negeri terutama untuk pulang ke kampung. – Berita Harian
KOMEN