TIGA Hari bersidang menyaksikan lebih 200 barisan pimpinan Rakan Siswa YADIM (RSY) dari seluruh negara pulang membawa ilmu, pengalaman dan azam baharu untuk dipraktikkan di institusi masing-masing.
Konvensyen Madani Rakan Siswa Yadim 2024 di Pusat Belia Antarabangsa Kuala Lumpur itu memberi pelbagai pengisian untuk barisan pimpinan yang hadir seperti kerja berpasukan, kepimpinan, komunikasi silang budaya serta kecaknaan kepada isu semasa.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli Hasan yang hadir menyempurnakan perasmian program pada 3 Mac berharap selepas ini RSY akan bersedia tampil kehadapan bukan sahaja memimpin, malah mengisi kelompongan elemen kemanusiaan dalam masyarakat masa kini.
Katanya lagi, dalam dunia pasca normal masa kini golongan muda seperti pimpinan RSY perlu menjuarai adab perbezaan pendapat dan berdialog.
Beliau juga tidak lupa mengucapkan tahniah atas penganjuran konvensyen ini dan berharap silibus dan modul yang disediakan untuk pimpinan RSY akan membawa institusi ini ke tahap yang lebih tinggi.
Hadir sama dalam program ialah Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus. Dalam ucapan aluannnya, beliau menekankan peri pentingnya agar pimpinan RSY menguasai kemahiran berunding yang menurutnya, merupakan ciri-ciri pemimpin yang berjaya.
Tidak ketinggalan hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Ustaz Zamri Zainal Abidin, Pengarah Kanan Sektor Latihan dan Pengkaderan, Kapten (B) Shamsuddin Moner, Pengarah Bahagian Kepimpinan Muda, Encik Shahrizal Mat dan pegawai serta kakitangan badan dakwah ini.
Majlis yang sama menyaksikan Universiti Sultan Zainal Abidin mengungguli Anugerah Majlis Pimpinan Rakan Siswa YADIM Terbaik untuk kategori Institusi Pengajian Tinggi.
Kategori Institut Pendidikan Guru (IPG) dimenangi oleh IPG Tun Hussein Onn manakala Politeknik Ungku Omar mencipta kemenangan untuk kategori politeknik.
KOMEN